Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim akan terus mentadbir kerajaan negeri dengan
perkenan Sultan dan empat ahli Exco Pas.
Dalam sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) petang ini,
beliau berkata, Tuanku Sultan Sharafudin Idris Shah ada bertanya
kepadanya sama ada masih mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) atau sebaliknya.
Katanya, beliau memaklumkan masih mendapat kepercayaan majoriti
ADUN dan baginda Sultan berpuas hati dengan dan perkenannya untuk terus
memegang jawatan Menteri Besar.
"Saya akan pegang jawatan ini sehingga ada perkembangan baru dan sementara itu saya akan jalankan tugas sebagai Menteri Besar.
"Saya juga tak bangkitkan soal bubarkan Dewan Undangan Negeri dan Tuanku tidak bertanya pasal tu," katanya.
Pagi tadi beliau menghadiri Mesyuarat Penasihat Diraja yang dipengerusikan Tuanku Sultan di Istana Alam Shah, Klang.
Abdul Khalid sebelum ini menjadi Menteri Besar Bebas selepas
dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat pada 9
Ogos lalu.
Abdul khalid berkata, beliau mendapat kepercayaan penuh daripada
empat Exco dan ADUN Pas dan akan bertemu dengan Exco DAP serta PKR untuk
bertanyakan kesediaan mereka bersamanya mengendalikan pentadbiran
kerajaan Selangor.
Menurutnya, beliau akan mengekalkan dirinya sebagai Menteri Besar
dan tidak akan meletakkan jawatan kerana kerajaan negeri adalah
pentadbiran negeri dan bukan pentadbiran politik.
"Kerajaan negeri ditadbir oleh Exco dan disokong oleh penjawat
awam. Saya tak nampak ada masalah atau kekurangan dari segi
pentadbiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan