Kemelut politik di Selangor yang memasuki fasa baharu pada Selasa
memperlihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP diberi peluang
yang adil bagi mencalonkan lebih daripada dua nama untuk dipersembahkan
kepada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar yang baharu.
Perkembangan itu menurut beberapa penganalisis politik adalah satu
keputusan bijak yang mampu meredakan ketegangan politik yang berlaku di
Selangor pada ketika ini.
Mereka berpandangan bahawa ini adalah ujian 'getir' kepada parti pakatan
untuk mencari persefahaman, toleransi dan permuafakatan apabila setiap
parti 'diwajibkan' mencalonkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)
masing-masing sebagai calon Menteri Besar.
AKUR TITAH SULTAN
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain dari Jabatan Pengajian Kenegaraan
dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, titah Sultan
Sharafuddin Idris Shah yang mahukan setiap parti mencadangkan lebih
dari dua nama itu hendaklah dipatuhi.
"Kita kena faham bahawa Sultan ada kuasa mutlak dalam memilih Menteri
Besar dan sepatutnya daripada dahulu lagi Pakatan Rakyat memberi lebih
daripada satu nama untuk memudahkan Sultan memberi perkenan.
"Jika Pakatan Rakyat ingin menyelesaikan krisis Menteri Besar ini dengan
cepat dan tidak mahu memberi kesan yang buruk kepada rakyat Selangor,
mereka perlu segera mengemukakan nama ADUN mereka untuk dipilih sebagai
Menteri Besar," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata PKR seharusnya tidak memuktamadkan dan hanya menetapkan
nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon
tunggal Menteri Besar untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor.
"Sekiranya PKR masih berdegil dan hanya mahukan Dr Wan Azizah sebagai
calon tunggal parti itu untuk dipilih sebagai Menteri Besar, ini
menunjukkan bahawa mereka hanya nak krisis ini berlanjutan tanpa noktah
penamat," katanya.
PAS PERLU KEMUKAKAN CALON
Berdasarkan konsensus bersama gabungan pakatan sebelum ini, kerusi
Menteri Besar Selangor diberikan kepada PKR manakala Kelantan ditadbir
PAS dan Pulau Pinang oleh DAP.
Persoalannya, sanggupkah PAS mencalonkan nama ADUN mereka sebagai
Menteri Besar dan sekali gus membelakangkan konsensus gabungan parti
PKR-DAP-PAS?
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains
Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat bahawa PAS wajib
akur titah Sultan yang mahukan setiap parti berkenaan mengemukakan
calon mereka sebagai Menteri Besar.
"PAS sepatutnya tidak tunduk kepada tekanan PKR atau DAP. Ini soal
menjunjung titah Tuanku Sultan dan oleh itu mahu tidak mahu mereka perlu
mengemukakan nama ADUN mereka kepada Tuanku Sultan.
"Jika tidak, mereka boleh dianggap derhaka. Tuanku Sultan bertindak
begini pada pandangan saya sebab Pakatan Rakyat tidak bersatu di mana
PAS dalam kenyataan terbaharu menerima sesiapa sahaja yang diperkenan
Sultan Selangor sebagai Menteri Besar, manakala PKR pula hanya mahukan
Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Ini yang menimbulkan kecelaruan,"
katanya.
Pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa
Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri
Selangor 1959.
Menurut Perkara 55 (2) (a) undang-undang itu, dinyatakan Baginda boleh
menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan