Isnin, 11 Ogos 2014

Khalid berbohong, kata DAP, PKR



Tidak puas hati dengan penjelasan Tan Sri Abdul Ibrahim, yang beliau mendapat sokongan majoriti daripada empat anggota Exco dan ADUN Pas bagi membolehkannya terus kekal mentadbir negeri ini, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail meminta Menteri Besar itu mengemukakan bukti.

Dalam kenyataan kepada media berhubung keputusan Sultan Selangor memperkenankan Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar, Pua dan Saifuddin Nasution berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu sebenarnya sudah hilang kepercayaan 28 daripada 56 ADUN.

“PKR dan DAP telah menyatakan secara terbuka bahawa Abdul Khalid bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua parti ini sebagai Menteri Besar Selangor. Ini bermakna Abdul Khalid sudah hilang kepercayaan 28 ADUN iaitu separuh dari jumlah ADUN di Selangor.


“Pas pula belum membuat keputusan mengenai sokongan mereka kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan Jawatankuasa Pas Pusat hanya akan bermesyuarat pada 17 Ogos ini,” katanya mengulas kenyataan Abdul Khalid hari ini mengenai hasil mesyuarat dan perbincangannya dengan Majlis Penasihat Diraja Selangor di Istana Alam Shah, Klang, pagi tadi.

Oleh itu, tegas beliau, kenyataan Menteri Besar kepada pihak istana bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri adalah meragukan.

Jelas mereka, dengan penolakan terbuka PKR dan DAP, bermakna Abdul Khalid hanya boleh mempunyai sokongan majoriti dengan mendapat sokongan daripada 12 ADUN UMNO.

Oleh demikian, PKR dan DAP mendesak supaya Abdul Khalid membuktikan kepada rakyat jelata sokongan majoriti yang diperolehi beliau itu seperti mana yang didakwanya.


“Ini termasuklah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri untuk melakukan undi kepercayaan atau cara lain yang boleh membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan dari ADUN Pas dan UMNO,” katanya.

Mereka berkata, UMNO menyatakan secara terbuka 12 ADUNnya menyokong Abdul Khalid Ibrahim seperti mana didakwa oleh Menteri Besar itu.

“Tetapi jika 12 ADUN UMNO tidak menyokong Abdul Khalid, jelaslah beliau telah mempersembahkan maklumat palsu kepada Tuanku Sultan Selangor.

“PKR dan DAP akan terus menggunakan segala kaedah mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat (PR) yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Langkah seterusnya menurut mereka, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri akan dimaklumkan selepas pimpinan PR terus bermesyuarat mencari muafakat menyelesaikan perkara itu dengan baik.

Tiada ulasan: