Ahad, 17 Ogos 2014

Khalid bakal tubuh parti politik baru, kata Faekah

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menubuhkan sebuah parti politik baru bagi berdepan segala kemungkinan dalam kemelut penyingkirannya sebagai menteri besar Selangor.

Bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin juga menafikan bahawa Khalid berhajat untuk kekal sebagai menteri besar, sebaliknya segala urusan peralihan perlu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Khalid bakal menubuhkan parti baru. Saya rasa lebih baik kita tunggu dan lihat apa tindakan beliau selanjutnya.


"Pendirian Khalid yang kini cuba digambarkan kononnya beliau dalam apa cara sekalipun mahu mempertahankan jawatan MB, itu adalah gambaran jahat.

"Tidak tepat mengatakan Khalid begitu kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan pelantikan dan pemecatan menteri besar hendaklah dilakukan secara teratur, tertib dan berhemah," katanya dalam satu wawancara yang diterbitkan Berita Harian hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat hari ini bagi menyatakan pendirian sama ada mahu terus mengekalkan Khalid sebagai menteri besar atau menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baru.

Majlis Syura PAS yang bermesyuarat tempoh hari mahu Khalid dikekalkan kerana tiada apa-apa bukti yang disabitkan Khalid melakukan penyelewengan dalam tugasnya sebagai menteri besar.

Faekah berkata Khalid mengambil langkah tepat apabila enggan meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor bagi memastikan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) terus memerintah negeri.

Katanya, tindakan yang dilakukan Khalid tidak dihargai kumpulan tertentu, malah partinya sendiri mengambil keputusan mudah melucutkan keahliannya.

“Cuba bayangkan jika Khalid menurut perintah PKR dan meletakkan jawatan seperti yang diputuskan mereka (PKR) pada 21 Julai lalu. Pada ketika itu, seluruh barisan Exco akan gugur dan Selangor tidak mempunyai pihak berkuasa negeri.

“Sehingga hari ini, PAS, DAP dan PKR masih gagal mencapai kata sepakat siapa calon yang akan menggantikan Khalid. Itu belum lagi mendapat perkenan Sultan Selangor. Proses akan mengambil masa tidak kurang 3 hingga 4 minggu. Situasi di Selangor akan menjadi caca-marba tanpa pihak berkuasa negeri.

“Khalid cuba menyelamatkan negeri ini daripada bertambah kacau, sebaliknya pula dituduh gila kuasa. Oleh kerana itu juga, beliau dipecat dari PKR kononnya melanggar keputusan parti,” katanya kepada Berita Harian.

Ada unsur niat jahat

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu juga tidak menolak kemungkinan PKR mempunyai niat jahat memecat Khalid kerana proses penyingkiran tersebut tidak dihakimi secara adil.

Katanya, isu pemecatan Khalid dari PKR diserahkan sepenuhnya kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi melihat kewajaran sejauh mana pimpinan parti mengendalikan proses pemecatan itu secara telus.

“Adakah pemecatan berkenaan sudah melalui proses sebenar berlunaskan prinsip 'common sense' dan 'natural justice' yang sememangnya hak setiap insan?

“Sekiranya proses ini tidak dihormati, agak sukar untuk dinafikan ada unsur berniat jahat,” katanya kepada Berita Harian.

Tiada ulasan: