KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir
Mas, Che Johan Che Pa, yang tidak menyerahkan borang penamaan calonnya
bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan berdepan tindakan tegas
termasuk dipecat keanggotaannya sekiranya tindakan itu dilakukan dengan
sengaja.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti
gabungan itu akan menjalankan siasatan terhadap tindakan Timbalan Ketua
Umno Bahagian Pasir Mas itu.
"Umno tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan
kesalahan dan melanggar peraturan parti termasuk tindakan sebotaj atau
bertentangan dengan Perlembagaan Umno khususnya bagi memastikan
kemenangan BN dalam PRU13," katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Che Johan membuat kejutan apabila tidak menyerahkan borang penamaan
calonnya di pusat penamaan calon Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan
Pasir Mas semalam, walaupun beliau dilihat berada di pusat berkenaan.
Tindakannya itu menyebabkan penyandang, Datuk Ibrahim Ali yang
bertanding atas tiket Bebas bertarung satu lawan satu dengan anak
Mursyidul Am PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Che Johan Diarah Beri Penjelasan
Che Johan Diarah Beri Penjelasan
KOTA BARU - Umno
Kelantan pada Ahad memanggil calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen
Pasir Mas, Che Johan Che Pa untuk memberikan penjelasan mengenai
keputusan mengejut beliau yang menarik diri pada saat akhir daripada
bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata,
pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama biro politik parti pada
pagi Ahad berhubung perkara itu.
"Pagi tadi, kita sudah panggil beliau (Che Johan) untuk mendapatkan
penjelasan. Dan saya akan adakan perbincangan lanjut dengan Pengerusi
BN, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.
"Apapun, biro politik memandang serius mengenai perkara ini dan akan
membuat keputusan beliau yang membelakangkan keputusan parti
(mencalonkan beliau)," katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Beliau berkata demikian mengenai tindakan Che Johan pada saat akhir
yang membuat keputusan untuk tidak menyerahkan borang pencalonan semasa
proses penamaan calon pada Sabtu.
Berita mengejut itu menyebabkan Parlimen Pasir Mas pada PRU-13 akan
menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang kerusi itu,
Datuk Ibrahim Ali sebagai calon bebas dan calon baru dari PAS yang
merupakan anak kepada Mursyidul Am parti itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat iaitu Nik Abduh.
Mustapa berkata, beliau melihat isu tersebut sebagai satu masalah
disiplin yang serius kerana watikah pencalonan telah pun diberikan
kepada Che Johan.
"Tindakan (Che Johan) berpandukan pada perlembagaan parti tetapi ia akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin (Umno)," katanya.
Menurut Mustapa, parti itu sedang meneliti impaknya dan sudah tentu akan memastikan kemenangan bagi mereka yang dicalonkan.
"Mengenai parlimen (Pasir Mas), kita akan pantau impaknya tetapi kita
akan pastikan DUN (Dewan Undangan Negeri) di Parlimen itu untuk menang,"
katanya.
Ditanya mengenai penjelasan Che Johan, Mustapa hanya berkata:
"Penjelasan dia sama sahaja yang sudah pun dilaporkan di media-media.
Jawapannya konsisten."
Media pada Ahad melaporkan bahawa keputusan Che Johan itu kerana beliau
mahu memastikan PAS tewas di kerusi parlimen tersebut dan membantu BN
untuk memperoleh kemenangan pada PRU-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan