Jumaat, 19 April 2013

Al-Fatihah Kepada Allahyarham Aishah Ghani

Pejuang tulen Melayu/Islam, Allahyarham Aishah Ghani
KUALA LUMPUR: "Politik itu candu mak," kata veteran Umno Tan Sri Aishah Ghani semasa hayatnya, yang melambangkan kesetiaan dan komitmennya dalam arena politik negara.

Perkara ini didedahkan oleh anak sulungnya, Shairudin Abd Aziz, 65, ketika ditemui pemberita di kediaman Allahyarham di Jalan Bukit Ledang di sini hari ini.

Aishah Ghani, 90, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.50 tengah hari tadi, kerana sakit tua dan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara di sini.
Shairudin menyifatkan ibunya sebagai seorang yang tegas, hebat dari segi perwatakan dan mempunyai semangat waja bukan sahaja dalam mendidik anak-anaknya tetapi turut diketahui umum khususnya mereka yang terlibat dalam bidang politik.

"Mak berpesan supaya pandai-pandai menjaga diri dan terus memegang kuat nilai-nilai yang telah diajari.

"Kami akan terus menerapkan nilai-nilai murni ini kepada anak-anak kami dan berharap ia menjadi tradisi turun temurun," katanya.

Shairudin berkata walaupun terlantar sakit, Allahyarham masih mengambil berat tentang perkembangan terkini politik negara terutamanya menjelang pilihan raya ke-13.

"Kalau boleh, saya nak naik bas untuk mengundi," kata Allahyarham kepada anak-anak sambil mengimbau kenangan waktu dahulu ketika pergi mengundi.

Menurut Shairudin, Allahyarham juga berharap proses mengundi kali ini berjalan dengan baik seperti yang pernah dijalankan dulu, tanpa ada perkara-perkara yang tidak baik.

"Biarlah terpelihara keamanan, kalau tidak ia akan hilang selama-lamanya," demikian pesan Allahyarham.

Aishah meninggalkan empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan. - BERNAMA


Jenazah Aishah Ghani dikebumikan selepas Asar

Jenazah Tan Sri Aishah Ghani yang meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar ini.

Allahyarhamah, 90, yang meninggal dunia di Hospital Gleanegles Ampang jam 12.50 tengah hari tadi meninggalkan empat anak, 12 cucu dan lima cicit.

Bekas menteri kabinet dan ketua pergerakan Wanita UMNO itu terlantar sakit di hospital sejak 12 hari lalu.


Rais cadang Wanita UMNO adakan hari khas untuk Aishah Ghani

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencadangkan Wanita UMNO mengadakan satu hari khas sebagai memperingati jasa dan sumbangan Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani kepada negara.

"Beliau satu-satunya menteri Kabinet wanita yang luas pengalaman dan kehilangannya sukar dicari ganti," katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarhamah Aishah di Bukit Ledang, hari ini.

BIODATA




Tan Sri Datin Paduka Seri Dr. Aishah Ghani (lahir 15 Disember 1923) ialah Menteri Kebajikan Masyarakat Malaysia antara 1973 dan 1984, serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia antara tahun 1972 sehingga 1984.Beliau meninggal dunia pada 19 April 2013 pada pukul 12.50 am.Beliau berumur 90 tahun.

Pendidikan

Dilahirkan di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor, Aishah memperoleh pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor dan menyertai sekolah menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, In donesia dari tahun 1936 hingga 1939. Pada tahun 1940 hingga 1943, beliau menyertai Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, Sumatera Barat, dan kemudiannya pergi ke London pada April 1955 dan memperoleh ijazah kewartawanannya dari Politeknik Regent Street di London pada Disember 1958.

Kerjaya politik

Penglibatan Aishah dalam bidang politik bermula sebaik sahaja Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada tahun 1945, dan beliau menjadi Ahli Jawatankuasa dan sekaligus mengetuai sayap wanita yang dipanggil Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Ketika itu, beliau juga bertugas sebagai wartawan Pelita Malaya, lidah rasmi PKMM.

Aishah keluar daripada AWAS pada tahun 1946 (AWAS kemudian diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1948) dan menyertai perhimpunan yang menuntut kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada Mac tahun yang sama. Beliau menyertai UMNO Kampung Baru pada tahun 1949 dan dilantik sebagai Setiausaha.

Sekembalinya Aishah dari kursusnya di London pada tahun 1959, beliau bertugas sekali lagi sebagai wartawan, kali ini untuk Berita Harian, serta sebagai penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times. Beliau meletakkan kedua-dua jawatannya pada tahun 1963 apabila beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta Naib Ketua Wanita UMNO. Pada 13 September 1962, beliau dilantik sebagai Senator dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Beliau adalah wanita yang pertama di Malaysia menjadi senator serta wakil wanita Malaysia yang pertama ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dari tahun 1967 hingga 1972, Aishah menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB. Beliau juga menyandang jawatan Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Selangor  antara tahun 1960 hingga 1972.

Pada tahun 1972, Aishah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, satu pertubuhan yang beliau mengetuai selama 12 tahun sehingga 1984. Pada 1 Mac 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat selepas persaraan Tun Tan Sri Dr. Fatimah dan memegang jawatan ini selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmatnya pada tahun 1984. Semasa menyandang jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau melancarkan Yayasan Kebajikan Negara, sebuah pertubuhan yang masih berfungsi pada hari ini. Aishah ialah Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak tahun 1986 hingga sekarang.

Selepas politik

  • 1971: Johan Mangku Negara (J.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  • 1978: Darjah Dato' Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka' oleh Kerajaan Selangor
  • 1985: Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
  • 1986: Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM)
  • 1999: Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datin Paduka Seri' oleh DYMM Sultan Selangor
  • 2002 Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada ulasan: