KUALA LUMPUR, 5 April – Memilih
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin akan menyebabkan negara
terdedah kepada pelbagai ancaman dari dalam dan luar negara, kata ilmuan
dan bekas rakan karib ketua pembangkang itu, Datuk Dr Sidek Baba.
Sidek berkata beliau percaya
banyak pihak tahu perkara sebenar yang berlaku melibatkan Anwar, tetapi
mereka tidak berani menyampaikannya kepada khalayak.
"Ada sesuatu yang tidak kena pada
integriti Anwar. Integriti sangat penting tetapi kalau tampil dengan
imej yang tercalar mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut,
apatah lagi orang dalam, apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan
rakyat," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) itu kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, Jumaat.
Dr Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab – masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.
Beliau berkata, pertemuannya
dengan Dr Mahathir pada Jumaat selama sejam bertujuan untuk mendapatkan
penjelasan mengenai kemusykilan yang berbangkit berkaitan bekas rakan
karibnya Anwar, yang bersama-sama beliau berjuang dalam Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim).
"Tun (Dr Mahathir) ialah seorang yang teliti dan tidak mudah disogok dengan maklumat untuk jatuhkan timbalan (perdana menteri) dia (Anwar).
"Bila saya masuk (tahanan) ISA
(Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998) selama 16 hari saya juga
didedahkan siapa Anwar sebenarnya. Tidak mudah sekelip mata saya
terima,” katanya.
Dr Sidek berkata, beliau meninggalkan
Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu
yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat
Istikharah bagi memohon petunjuk.
"Ada orang kata saya tidak mengenang budi. Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti.
"Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya," katanya.
Dr Sidek juga berkata, beliau tidak berniat mengaibkan Anwar, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan kemungkaran yang berlaku.
Beliau melahirkan kesediaan untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan pendiriannya itu dan berharap ia digunakan sebaik mungkin, dan turut membidas penulis blog yang menghentam tindakan beliau itu tanpa mendapatkan penjelasan daripadanya.
Kepada pihak yang cuba menyifatkan pendedahannya sebagai satu konspirasi, Sidek mencabar mereka mengemukakan bukti bagi melawan hujah yang beliau tampilkan.
Ditanya kesediaannya jika dicabar Anwar untuk berdebat, beliau berkata: "Untuk apa? Untuk kebenaran atau cuma silat lidah?"
Dr Sidek dalam pada itu berkata, PAS perlu meneliti semula prinsip perjuangan asal parti itu yang dilihat sudah tergadai selepas bersama dalam pakatan pembangkang.
Sambil memuji Barisan Nasional
(BN) yang terbukti boleh mentadbir dengan baik berdasarkan jejak rekod yang
ada, Sidek berkata, jika ada pihak yang berhasrat melakukan perubahan
rejim, mereka perlu mengambil kira masalah yang bakal timbul dalam
menguruskan kejayaan perubahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan