SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), kawasan di selatan Kedah
yang merangkumi Parlimen Merbok, Sungai Petani, Baling, Padang Serai dan
Kulim Bandar Baharu adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Namun, atas sebab-sebab tertentu, kerusi Parlimen terbabit beralih ke
tangan pembangkang. Begitu juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada 12 yang dipertandingkan, BN hanya mampu menang di Bayu,
sementara selebihnya disapu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Dalam PRU-13 ini pula, 'suhu politik' selatan Kedah tetap panas.
Ia menyaksikan persaingan sengit antara calon yang mewakili
parti-parti besar, yakni BN, PKR dan Pas selain calon parti kecil
seperti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan Barisan Jemaah Islamiah
Semalaysia (Berjasa).
Kehangatan itu ditambah lagi dengan kehadiran ramai calon Bebas yang
mencuba nasib. Keadaan ini menjadikan beberapa kerusi di Kedah selatan
sebagai medan pertembungan calon-calon antara tiga hingga enam penjuru.
Mendahului senarai berkenaan adalah di DUN Sidam yang menyaksikan pertembungan enam penjuru- yang paling banyak di Kedah.
Selain BN yang mempertaruhkan muka baharu, Bee Seiong Heng, turut
bertanding ialah Dr. Robert Ling Kui Ee (PKR), Vincent Uh Chorng Von
(KITA) dan masing-masing tiga calon Bebas iaitu Zamil Ibrahim, Tan Hock
Huat serta Ooi Beng Kui.
Bagi kerusi Parlimen pula, Padang Serai mencatatkan pertembungan lima
penjuru antara bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie (BN); Naib Presiden Parti PKR, N.
Surendran; penyandang kerusi berkenaan, N. Gobalakrisnan (Bebas), Hamidi
Abu Hassan dari Berjasa dan seorang lagi calon Bebas, Othman Wawi.
Di samping itu, Parlimen Sungai Petani menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala di DUN Bukit Selambau, lima penjuru.
Untuk rekod, kerusi DUN Bukit Selambau pernah menyaksikan calon
paling ramai bertanding iaitu dalam Pilihan Raya Kecil pada 7 April 2009
melibatkan pertembungan 15 penjuru sehingga memaksa Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) mencetak kertas undi dalam saiz lebih sebesar A4.
Kemunculan ramai calon Bebas ini dikatakan berpunca daripada rasa
tidak puas hati daripada kalangan mereka yang merajuk kerana tidak
dipilih oleh parti.
Ada juga melihat kemunculan calon Bebas adalah untuk memecahkan undi dan memberikan kelebihan kepada parti-parti tententu.
Apapun, kemunculan calon bertanding banyak penjuru ini sudah tentu
mampu menggugat kedudukan calon parti utama yang bertanding seperti BN
dan pakatan pembangkang.
Bagi BN, kawasan selatan Kedah sememangnya dianggap penting kerana
jika berjaya merampas kembali kawasan itu, peluang untuk membentuk
kerajaan negeri amatlah tinggi.
Dengan kata lain, BN perlu memenangi seberapa banyak mungkin daripada
12 kerusi DUN yang dipertandingkan di kawasan Kedah selatan. Buat masa
ini, kekuatan BN terletak di 17 kerusi DUN kawasan Kedah utara,
sementara tujuh kerusi lagi di Kedah tengah dengan peluang 50-50. Kedah
mempunyai 36 kerusi DUN dan 15 Parlimen.
Hakikat kepentingan kerusi-kerusi di selatan Kedah ini diakui sendiri
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap dalam
Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Perwakilan UMNO
Bahagian-bahagian Kedah Selatan di Baling pada 30 Ogos tahun lalu.
Menurut Pengerusi BN itu, jika kerusi kawasan Kedah selatan berjaya
ditawan, sudah pasti Kedah akan menjadi milik BN pada kali ini.
Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengakui
perlunya bagi BN memenangani kerusi di kawasan selatan Kedah. Dr.
Mahathir yang kerap turun padang berkempen di negeri Kedah sejak
akhir-akhir ini juga mengulangi pesanan yang sama.
Jika ditanya kenapa orang Kedah selatan sebelum ini banyak memihak
pembangkang? Sudah tentu banyak jawapan yang boleh diberikan.
Berdasarkan pemerhatian rambang penulis, faktor demografi pengundi
merupakan salah satu petanda penting. Umum tahu, di selatan Kedah,
purata pengundi daripada kaum Melayu, Cina dan India berada pada tahap
hampir sama rata.
Di samping itu, ramai di kalangan pengundi di kawasan Kedah tengah
terutamanya di bandar-bandar besar seperti Sungai Petani dan Kulim
terdiri daripada golongan kelas menengah yang dilihat bersifat 'atas
pagar'.
Golongan atas pagar ini akan membuat pertimbangan memilih calon bukan
sahaja berdasarkan dasar yang dibawa parti tetapi melihat visi atau
keperibadian calon.
Satu lagi faktor adalah kecenderungan pengundi 'terpengaruh' dengan
prospek pembangkang di kawasan berjiranan dengan mereka iaitu kerajan
DAP di Pulau Pinang. Tambahan pula ramai dalam kalangan penduduk Kedah
selatan bekerja dan ulang-alik setiap hari ke Pulau Pinang.
Mengambil kira faktor tersebut, sudah tentu, pengundi kawasan selatan Kedah akan fikir 'berkali-kali' sebelum membuang undi.
Justeru, jentera BN kali ini perlu bekerja lebih gigih daripada
biasa. Tempoh kempen yang ada boleh digunakan sebaik mungkin untuk
menerangkan kepada pengundi betapa pentingnya sokongan mereka agar BN
memerintah semula Kedah.
Jika ini dapat dilakukan, sudah tentu, harapan untuk tukar kerajaan di Kedah akan tercapai.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan