Rabu, 17 April 2013

'Saya tak campur urusan kerja PM'

SHAH ALAM - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembangkang yang mendakwa beliau mencampuri urusan pentadbiran suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, walaupun menjadi tulang belakang dan penyokong kuat kepada pemimpin nombor satu negara itu, beliau sesekali tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kedudukan itu.

"Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya... ada yang kata saya mengongkong suami. Kali ini, memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan berlangsung, ada yang tuduh saya menentukan nama calon. Ini memang tidak masuk akal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Warga Industri Hospitaliti, Kulinari dan Demonstrasi Masakan, anjuran Wanita UMNO Parlimen Kota Raja, di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata tohmahan yang dibuat itu terutama dalam kalangan pembangkang dianggap sebagai serangan berbentuk psikologi.

Katanya, tuduhan dan tohmahan itu juga sengaja ditimbulkan pihak terbabit bertujuan mengalihkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Walau apa jua tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan, saya akan tetap bersabar demi kesejahteraan rakyat dan negara.

"Saya bersyukur kerana sehingga kini, saya masih lagi mampu bersabar dan berharap rakyat sentiasa mendoakan saya tabah dengan pelbagai tuduhan,” katanya.

Beliau berkata, fitnah dibuat pembangkang tidak akan berhenti dan mungkin tuduhan yang lebih besar akan diada-adakan selepas keputusan PRU-13 diumumkan nanti.

Tiada ulasan: