Jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 40 peratus berbanding 120 calon untuk kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum 2008.
Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikeluarkan pada Sabtu, pertandingan merebut kerusi Parlimen membabitkan 56 calon manakala 112 calon bagi kerusi DUN.
BN meletakkan calon wanita paling ramai iaitu 22 orang bagi kerusi Parlimen dan 49 orang di DUN.
PAS meletakkan tujuh calon wanita untuk kerusi Parlimen dan 18 calon bagi DUN manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan 11 orang untuk kerusi Parlimen dan 19 untuk DUN.
DAP pula menamakan empat calon wanita bagi kerusi Parlimen dan 18 orang di DUN. Jumlah calon wanita yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kali ini bertambah kepada 12 orang berbanding hanya tiga pada 2008.
Antara yang pasti menjadi tumpuan kali ini ialah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim, yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar (Perak).
Tindakan beliau itu menyebabkan keanggotaannya dalam Umno dilucut secara automatik.
Penyandang Parlimen Teratai (Selangor), Janice Lee Ying Ha, yang memenangi kerusi itu atas tiket DAP pada 2008, juga bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahan kerusi itu. Beliau turut dipecat DAP secara automatik kerana tindakannya itu.
Penyanyi Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, dan Dayangku Intan, atau Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, turut mencuri tumpuan apabila bertanding buat pertama kali pada pilihan raya ini.
Aishah, yang mewakili PAS, bertanding di Parlimen Jempol (Negeri Sembilan), manakala Dayangku Intan, mewakili PKR, di kerusi Parlimen Pengerang (Johor).
Selain itu, calon wanita termuda PRU13, Anis Afida, 24, yang mewakili PAS bagi DUN Penawar (Johor) serta calon tertua, Maimun Yusuf atau Tok Mun, 94, yang bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, juga mendapat perhatian ramai.
Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, akan mempertahan kerusi Parlimen Papar, manakala Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, bertanding di Parlimen Taiping.
Sementara Naib Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kei buat pertama kalinya bertanding di kerusi Parlimen Padang Serai (Kedah).
Selain itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan mempertahan kerusi Parlimen Lembah Pantai.
Pada pilihan raya umum 2008, seramai 120 calon wanita bertanding bagi kerusi Parlimen dan DUN terdiri daripada 61 (BN), 18 (DAP), 24 (PKR), 13 (PAS), 3 (Bebas) dan seorang (Bersekutu).-BERNAMA
1 ulasan:
Vote for BN P017 - Padang Serai
Catat Ulasan