SEBELUM ini kerajaan telah
menguar-uarkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji
bebanan tugas guru.
Sejak tahun 2010 sehingga 2013, jawatankuasa ini
masih belum mengemukakan apa-apa penyelesaian bagi isu ini.
Belum pun
kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk bebanan yang disebutkan
sebelum ini, timbul pula bebanan-bebanan baru.
Akhir-akhir ini, guru-guru dibebani
dengan pelbagai lagi kerja perkeranian secara online dan bukan online.
Jika dulu guru hanya perlu mencatat markah pelajar dalam buku rekod,
kini terpaksa menghadap komputer berjam-jam lamanya untuk memasukkan
pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS,
SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM, dan dan lain-lain lagi.
Bayangkan bukan sahaja segala maklumat pelajar di bawah tanggungjawab
kami untuk kami isi, malahan guru-guru juga telah menjadi pegawai
kesihatan di sekolah. Kami jugalah yang menimbang berat pelajar dan
mengira BMI untuk setiap pelajar, menganalisis dan merekodkannya pada
setiap bulan.
Dengan adanya sistem PBS (Pentaksiran
Berasaskan Sekolah) pula, waktu tidur bukan lagi pukul 11 malam, tetapi
pernah sampai pukul tiga pagi saya menghadap komputer. Saya sentiasa
tidur lambat untuk menyediakan dan menanda latihan dalam kapisiti yang
begitu banyak setiap minggu sejak PBS dilaksanakan.
Demam kami
dibuatnya. Saya tidak mampu menyiapkan kerja-kerja PBS seperti membina
instrument sendiri, meriso kertas, menanda, menyemak, menyusun dan
memasukkan data ke dalam sistem di mana melibatkan 160 orang pelajar
bagi setiap 216 soalan.
Masalah paling besar ialah semasa ingin
memasukkan 160 band pelajar ke dalam sistem. (160 X 216 = 34,560 data).
Selepas dimasukkan dalam sistem, kami terpaksa menggeledah fail untuk
memasukkan latihan untuk semua pelajar. Jadi bayangkan berapa banyak
data dan masa harus diambil untuk menyiapkannya.
Sistem sedia ada pula
tidak mesra pengguna dan kerapkali menghadapi ‘internal error.’ Bukan sahaja guru-guru merasai
keperitan PBS, malahan pelajar apabila ditanya juga mengatakan, “Ruginya
masuk tingkatan satu tahun ini (tahun lepas).”
Mereka menunjukkan
reaksi muak apabila nampak sahaja kelibat guru. Setiap guru yang masuk
selepas sedikit penerangan, akan memberikan latihan sehingga ujian yang
mereka hadapi dalam satu hari bertubi-tubi melebihi “input”.
Di sekolah, kami berhempas pulas
menyiapkan kerja-kerja ko-kurikulum, mengisi data, terlibat dalam AJK
kecil untuk pelbagai jenis program, menjalankan kelas tambahan dan
lain-lain lagi, di rumah juga kerja terpaksa disambung sampai ke pagi.
Kami bukanlah robot. Dengan pelbagai tugasan ini, bilakah masanya untuk
kami membuat persediaan untuk masuk mengajar dan menjadi pendidik yang
efektif?
Bila ditanya tentang PBS dan keluar di
kaca televisyen, segala komentar yang diberikan nampak positif, tetapi
untuk mengetahui hakikat sebenar, turun dan lihatlah sendiri keadaan
guru-guru di sekolah yang makin tertekan.
Kami rasa benar-benar
diperbodohkan dengan Dialog: Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang
disiarkan pada 20 Februari 2013 jam 10 malam di TV1 kerana seluruh guru
di Malaysia tahu situasi yang sebenar adalah sebaliknya.
Kami terfikir-fikir mengapakah kerajaan
mengambil sistem PBS yang telah dimansuhkan oleh banyak negara maju?
Mengapa kerajaan tidak mengkaji dengan mendalam sistem ini? Di negara
maju PBS dilaksanakan kerana bilangan pelajar dalam setiap kelas adalah
sedikit, guru dibantu oleh “teacher assistant” tambahan pula silibus
pelajaran juga sangat sedikit dibandingkan dengan Malaysia dan di setiap
kelas ada fasiliti yang lengkap.
Saya sebagai rakyat Malaysia sedih
dengan pembaziran secara besar-besaran dalam perbelanjaan yang dilakukan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekejap mahu aplikasi sistem
PPSMI, sekejap mahu mansuhkan PPSMI. Ini jugalah yang akan berlaku pada
sistem PBS.
Apabila pimpinan sudah bertukar, sistem pun akan berubah.
Bukankah ini pembaziran namanya. Penukaran buku teks sahaja melibatkan
perbelanjaan jutaan ringgit dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang
lebih besar seperti kursus untuk guru-guru dan lain-lain lagi.
Kasihanilah kami. Di manakah janji
kerajaan ingin mengkaji bebanan tugas guru-guru kerana kini bebanan kami
bertambah lagi?
Kami juga ingin melapangkan masa bersama anak-anak
kalau bukan setiap hari pun, sekurang-kurangnya pada hujung minggu kami
ingin mengenepikan sebentar kerja-kerja yang berlambak dan keluar makan
bersama suami dan anak-anak.
Bukankah falsafah pendidikan negara
menekankan “berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat
menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara”. Kami, guru-guru benar-benar perit dengan apa yang kami terpaksa
kami lalui hari ini.
Marilah kawan-kawan sekalian, untuk PRU
kali ini kita bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, budaya, latar
belakang dan fahaman politik menolak sistem pendidikan sedia ada yang
menghempap guru-guru pada hari ini.
Jangan sudah terhantuk baru terngadah,
cukuplah dengan rekod kita menjadi antara warga paling ramai mengisi
ruangan wad jiwa, marilah kita sama-sama berdoa dengan cara
masing-masing agar bebanan yang menghempap di dada kita akan terlepas
dengan kejayaan parti pembangkang.
Sampai bilakah kita harus membuat
begitu banyak kerja perkeranian, kerja pemfailan, pengisian pelbagai
jenis data, penandaan, pengisisan data dan penyusunan beratus latihan
PBS, aktiviti ko-kurikulum, majlis dan aktiviti rasmi sekolah, kursus,
mesyuarat, penandaan buku latihan, kelas tambahan dan bermacam bagai
lagi yang begitu banyak sehingga tidak mampu disenaraikan satu-satu.
Kita dipaksa melakukan segalanya sedangkan kita bukanlah Aladdin dengan
Lampu Ajaib. Kita hanya ada 24 jam sehari. Aladdin pun boleh lari bila
tengok senarai tugas yang dicampakkan atas kepala kita.
Marilah kita berikan peluang kepada
parti pembangkang untuk membuktikan kata-kata mereka untuk membela nasib
guru-guru. Biarlah Menteri-menteri yang cerdik pandai tahu kita warga
pendidik juga mempunyai suara dan ada masanya akan berasa letih.
Marilah
kita berganding bahu menyokong parti pembangkang supaya suatu hari
nanti kerajaan pada hari ini akan buka mata kepada keperitan yang
terpaksa kita lalui saban hari. - MENTAL TERBEBAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan