Sabtu, 13 April 2013

Desak PAS siasat video lucah

AYER HITAM: PAS didesak menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat seorang pemimpinnya yang dikaitkan sebagai individu dalam gambar serta video lucah yang dipaparkan beberapa blog serta dalam bentuk cakera padat video (VCD).

Sambil menyifatkan perkembangan itu ‘pukulan maut’ kepada PAS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, bekas pemimpin kanan parti berkenaan, Datuk Dr Hasan Ali turut menggesa pemimpin dalam video terbabit tampil memberi penjelasan, tidak cukup dengan penafian hanya daripada pimpinan tertinggi parti.


"Orang yang dikatakan dalam video itu perlu tampil ke depan menafi atau mengiyakan (pembabitannya). Jika nafi, beliau perlu bersumpah dengan nama Allah bahawa individu dalam video itu bukan dirinya. Jika benar, tindakan memecatnya perlu dilakukan, tetapi perlu diberi peluang membela diri," katanya.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) itu juga mendesak pemimpin PAS supaya tidak melakukan siasatan terpilih kepada individu tertentu saja, tidak bagi 'anak emas’ mereka.

"Saya minta pimpinan tertinggi PAS tidak 'double standard' dalam isu ini. Jika saya boleh dipecat daripada parti tanpa alasan munasabah, mengapa isu ini ada pengecualian pula. Beberapa pemimpin PAS anggap perkara ini palsu dan menyatakan tidak akan beri tumpuan kepadanya.

"Bagi saya, ia (penafian pemimpin PAS) penyelesaian amat mudah dan tidak boleh diterima bukan saja oleh barisan pimpinan PAS sendiri, malah ahli, penyokong serta rakyat," katanya ketika ditemui di sini semalam sebelum memperincikan kenyataannya itu menerusi kenyataan media.

Hasan berkata, kerjasama dengan PKR dan DAP mengakibatkan PAS turut terpalit dengan masalah moral hampir sama dengan yang pernah dikaitkan dengan pemimpin PKR sebelum ini, sekali gus memerlukan PAS menangani isu terbaru itu secara serius, bukan sambil lewa kerana ia membabitkan maruah serta imej pemimpin Islam.

"Daripada paparan imejnya (aksi dalam video), Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tiada ruang lagi untuk sekadar mengatakan itu (individu di dalamnya) 'besi', pimpinan PAS yang lain pula sukar cari alasan munasabah untuk meyakinkan ahli, penyokong dan pengundi Melayu Muslim khasnya bahawa video itu dihasilkan musuh.

"Saya ramalkan isu video lucah ini akan jadi pukulan maut kepada PAS... akan jadi doa terakhir untuk PAS. Sudahlah pelbagai isu termasuk negara Islam, hudud, kalimah Allah, keceluparan Datuk Nik Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) terus jadi beban yang tidak mampu dipikul PAS," katanya.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran