PRU-13: Johor Akan Terima Menteri Besar Yang Baru
Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)
KUALA LUMPUR: Hakikat bahawa cakap-cakap kini semakin jelas yang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman akan bertanding kerusi parlimen dan dalam kes ini di Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan sendirinya memberi indikasi yang negeri itu akhirnya akan menerima seorang menteri besar baru.
Lagi pun spekulasi ini tidak dapat dielakkan lagi kerana Ghani telah menerajui Johor selama empat penggal iaitu sejak Mei 1995.
Jika beliau masih lagi bertanding di dewan undangan negeri, bermakna
beliau akan terus memimpin Johor untuk penggal kelima berturut-turut.
Dan ini tidak mungkin akan berlaku.
Pengantinya pula, mestilah orang kelahiran Muar - sebagaimana mengikut tradisi sejak turun temurun di negeri itu. Johor mempunyai satu tradisi tidak bertulis, menteri besar mestilah datang dari kalangan anak kelahiran Muar.
Sejak 1886, iaitu era Johor moden, negeri itu telah memiliki 14 orang menteri besar. Dalam hal ini, calon yang menjadi tumpuan ramai sebagai calon menteri
besar Johor akan datang ialah seorang lagi anak kelahiran Muar yang
juga Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
54.
Apatah lagi umum mengetahui yang Khaled dan Tuanku Sultan Ibrahim,
Sultan Johor Darul Takzim telah mengenali satu sama lain sejak sekian
lama. Mereka adalah rakan persekolahan di English College, Johor Baharu.
Khaled sendiri apabila ditanya mengenai spekulasi beliau akan
kembali sebagai menteri besar Johor bukan sahaja sekadar memberikan
senyuman sinisnya yang terkenal itu, malah berkata, yang dirinya telah
menjadi subjek kepada spekulasi itu sejak tiga penggal yang lalu.
Ini pun satu fakta yang benar lebih-lebih lagi beliau sepatutnya
kembali ke Johor pada pilihan raya yang lalu, tetapi ia tidak menjadi
kenyataan atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun, mStar Online difahamkan yang Khaled telah pun menerima
panggilan daripada Setiausaha Agung Umno dan BN, Tengku Adnan Tengku
Mansor pada petang Khamis (4 Apr) berhubung keputusan pucuk pimpinan
pusat yang mahukannya bertanding di kerusi dewan undangan negeri kali
ini.
Beliau khabarnya diminta supaya menyelesaikan bagaimana hendak
menukar kerusi dengan MIC yang sejak terbentuknya Parlimen Pasir Gudang
(di mana Khaled adalah wakil rakyatnya) bertanding di Dewan Undangan
Negeri Permas.
Permas secara semulajadinya adalah kerusi yang sesuai untuk Khaled.
Di samping ia terletak dalam Parlimen Pasir Gudang, DUN ini juga
mempunyai 54.25 peratus pengundi Melayu, berbanding DUN Johor Jaya yang diwakili
oleh MCA.
Namun Khaled sentiasa mempunyai pilihan kerana satu lagi kerusi DUN
yang selamat untuknya ialah Tanjung Puteri dalam Parlimen Johor Baharu
yang mempunyai 62 peratus pengundi Melayu.
DUN Tanjung Puteri juga sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing buat
Khaled kerana beliau pernah mewakili Parlimen Johor Baharu selama dua
penggal dan pernah menjadi ketua pemuda dan ketua Umno Bahagian sebelum
berpindah ke Pasir Gudang apabila persempadanan semula kawasan
dilakukan.
Bagaimanapun, nama Khaled bukannya satu-satunya nama yang disebut sebagai calon menteri besar.
Dua lagi nama yang menjadi pilihan ialah ahli Parlimen Pulai, Datuk
Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Umno Tanjung Piai yang juga ADUN Kukup,
Datuk Md Othman Yusof iaitu pemilik majalah kartun Ujang.
Khabarnya kedua-dua mereka juga berada dalam senarai pemimpin yang diterima dan diperkenan oleh Sultan.
Sabtu, 6 April 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan