KUALA LUMPUR: Perginya seorang tokoh wartawan sejati, Zainon
Ahmad atau lebih dikenali sebagai 'Pak Non' di kalangan rakan media
semestinya sukar dicari ganti.
Sikapnya yang suka berjenaka, merendah diri serta tidak lokek
berkongsi ilmu pemberitaan itu pastinya dirindui dan merupakan satu
kehilangan besar dalam dunia kewartawanan negara.
Pada usia 70 tahun, Editor Perunding akhbar The Sun itu menyahut
panggilan Ilahi hari ini, meninggalkan seorang balu Hasnah Abdullah, 65,
empat anak dan 14 cucu.
Beliau menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati pada 2.25
petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu selepas
dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu Selasa.
Zainon, yang dilahirkan di Semeling, Lembah Bujang, Kedah pada 1942,
merupakan seorang guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia
kewartawanan 35 tahun lepas.
Beliau menyertai The New Straits Times tahun 1978 dan dinaikkan
pangkat sebagai Penolong Editor Kumpulan akhbar itu pada 1997 sebelum
menjadi Editor Perunding pada 2001.
Setahun kemudian, beliau menyertai akhbar The Sun sebagai Ketua Pengarang.
Rakan media menyifatkan beliau sebagai wartawan sejati hingga ke
akhir hayatnya kerana pada usia itu, Pak Non masih komited melakukan
kerja-kerja kewartawanan seperti menulis berita dan menemuramah sumber,
serta sering ke Parlimen untuk membuat liputan.
"Pak Non seorang wartawan sejati, beliau tidak ada hendak fikir kerja
lain jadi pegawai ke atau apa sahaja, itu yang menyebabkan beliau kekal
jadi wartawan untuk tempoh yang lama," kata Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya kepada Bernama.
Beliau berkata Zainon merupakan pemerhati sosial yang cukup kritikal
kerana arwah bukan sahaja melihat sesuatu isu berdasarkan fakta tersurat
tetapi juga mampu menterjemah sisi tersirat dengan tepat.
Menerusi kolum 'What They Say' hasil nukilan Zainon dalam akhbar The
Sun yang memaparkan penulisan berbentuk perbualan berkaitan isu semasa
dan politik, Chamil berkata Allahyarham pandai berkomunikasi dengan
khalayak pembacanya.
"Beliau melihat sesuatu isu yang orang lain terlepas pandang, beliau
memahami pembacanya dan bertindak berani untuk melawan arus dalam
mengemukakan hujah terhadap sesuatu isu," katanya.
Chamil, yang mengenali Zainon ketika berkhidmat di Utusan Malaysia
pada tahun 1980-an, berkata Pak Non tidak pernah kering dengan cerita
lucu yang sering dikongsi ketika mereka minum teh bersama.
"Dia seorang yang suka merendah diri, kami sering jumpa ketika ke
tempat tugasan, kalau minum teh, banyak cerita lucu diceritakannya
tentang bidang kewartawanan dan pengalamannya," katanya.
Ternyata semangat seorang guru tetap hadir dalam diri Pak Non
walaupun sudah menjadi tokoh kewartawanan yang disegani apabila beliau
disenangi peserta yang menghadiri setiap ceramah atau bengkel yang
dikendalikannya.
"Beliau sering menjadi penceramah dalam kursus yang MPI anjurkan,
beliau seorang penceramah yang bersahaja dan banyak menggunakan
pengalamannya dalam mencurahkan ilmu kepada wartawan muda," kata Chamil.
Beliau berkata setiap kursus yang dikendali Zainon sering mendapat penilaian tinggi daripada peserta.
Zainon juga merupakan seorang daripada 'orang kuat' yang berusaha
merealisasi pembentukan Majlis Media Malaysia, sebuah badan bagi
mengawal selia industri media di negara ini.
Chamil, yang turut terlibat dengan cadangan pembentukan majlis itu,
berkata Zainon memainkan peranan yang cukup instrumental dan begitu
komited, malah beliau dilantik mengetuai jawatankuasa yang
bertanggungjawab membentuk garis panduan, syor baharu serta langkah yang
perlu dilakukan bagi mengenal pasti peranan yang bakal dimainkan majlis
berkenaan.
"Kerja yang diusahakan Pak Non sudahpun diserahkan kepada pejabat
Peguam Negara, hidup dan matinya adalah sebagai orang surat khabar, saya
berharap agar bukan sahaja impian beliau malah impian semua pengamal
media supaya majlis ini menjadi realiti kerana ia merupakan satu cara
untuk media mengawal diri sendiri tanpa ada undang-undang," katanya.
Kegigihan Zainon turut diakui Pengurus Besar Pertubuhan Berita
Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong, yang turut
bersama-sama bertugas dengan beliau dalam pembentukan majlis itu.
"Pak Zainon sentiasa berjuang bermati-matian demi kebebasan media
namun pada masa yang sama, beliau tetap mengekalkan kebijaksanaan serta
sikap lucunya," katanya sambil menambah beliau sentiasa mengagumi hasil
kerja Zainon kerana arwah merupakan seorang pakar ketika menceritakan
sesuatu perkara.
"Kepakaran beliau bermain kata-kata mempunyai kesan yang mampu membawa seseorang agar menjiwai ceritanya," katanya.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Kumpulan The Star Datuk
Seri Wong Chun Wai pula menyifatkan Zainon sebagai seorang yang
berfikiran terbuka, warganegara Malaysia yang begitu setia dan sangat
dihormati di kalangan pemberita.
"Kemahiran beliau dalam bahasa Inggeris dan kebolehan bertutur bahasa
Tamil dan Tagalog menjadikan beliau antara wartawan awal Malaysia yang
membuat liputan perang saudara di Mindanao suatu ketika dahulu, dan kini
kita kehilangan seseorang yang boleh memberitahu apa yang sebenarnya
berlaku di Lahad Datu," katanya.
Wong berkata secara peribadi, beliau akan merindui Zainon lebih-lebih
lagi apabila mengenangkan arwah seperti tidak sabar-sabar untuk membuat
liputan pilihan raya umum akan datang.
"Hari ini merupakan hari yang sangat menyedihkan bagi saya kerana
beliau adalah seorang daripada manusia yang amat baik dalam hidup saya,
saya tidak pernah tahu beliau menghidap kanser hati kerana beliau
kelihatan sihat-sihat sahaja," katanya sambil menambah kali pertama
beliau mengenali Zainon ialah pada 1990.
Sementara itu, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Mokhtar Hussain
berkata Zainon tidak pernah menghampakan mana-mana pihak yang menjemput
beliau untuk menyampaikan ceramah berkaitan kewartawanan.
"Beliau merupakan pemberita sejati, beliau patut menjadi 'role model' kepada wartawan muda di negara ini," katanya.
Zainon pernah memenangi Anugerah Personaliti Media pada 2010.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Ijazah
Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.
Beliau pernah belajar berkaitan pengurusan akhbar di Yayasan Thomson,
London dan menjadi felo Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi Fletcher di
Universiti Tuft, Boston, Amerika Syarikat. BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan