Beliau berkata, rakyat perlu memahami apa yang telah dan akan terus dilalui perajurit serta anggota keselamatan negara.
“Mereka tidak akan beri sokongan kalau mereka tidak faham apa yang terpaksa dilalui oleh anggota keselamatan kita.
“Perlu faham tugas, cabaran,
rintangan dan risiko yang dihadapi mereka, sebab itulah untuk kita
menimbulkan rasa semangat patriotisme, ia berasaskan kepada kefahaman,
kalau tidak faham, makna tidak ada empati,” katanya pada majlis Sepetang
Bersama Perdana Menteri bersama Pesara Pegawai-Pegawai Tinggi Angkatan
Tentera Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral
Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Perdana Menteri berkata, oleh yang demikian, ketika ini pada saat negara berdepan ancaman luar, rakyat perlu berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan, yakni tentera dan polis.
“Kita mesti memahami dunia
ketenteraan dan kalau kita faham dunia ketenteraan, maka kita tidaklah
buat kenyataan untuk menidakkan kewibawaan pasukan tentera dan polis
kita.
“Tidaklah memperlekeh kemampuan
mereka dan tidaklah keluar kenyataan daripada pemimpin yang begitu
celupar lagi biadap, kononnya apa berlaku di Lahad Datu dan Semporna
adalah sandiwara kerajaan Umno,” katanya.
Najib berkata, perkara ini
menyebabkan rakyat marah dan banyak laporan polis dibuat kerana kerajaan
dan angkatan tentera tidak pernah mempunyai sebarang pakatan atau
konspirasi.
“Kalau ada, tentu tuan-tuan yang
hadir pada majlis hari ini boleh mengesahkan, tidak mungkin ada
konspirasi tanpa pengetahuan mereka, jika kita berpakat lakukan
sandiwara, tentu pegawai atasan hingga bawahan akan tahu,” katanya.
Najib berkata, tuduhan serupa turut dilempar terhadap kerajaan ketika insiden di Sauk dahulu.
“Ini adalah perkara tidak masuk
akal yang dikeluarkan oleh pemimpin tidak bertanggungjawab, oleh itu,
kita perlu teruskan perjuangan kita,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan penuh anggota keselamatan akan bertugas seperti yang diharapkan kerajaan dan rakyat.
“Saya yakin dan percaya bahawa kita dapat mengatasi dugaan, cabaran dan ancaman itu. Kita akan berjuang habis-habisan tidak kira berapa lama masa yang terpaksa diambil dan tidak kira apa yang perlu kita korbankan, kita akan menjamin kedaulatan dan keselamatan kita tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa.
“Itulah ikrar saya berikan, bagi pihak kerajaan pula mahukan sokongan padu daripada anggota pasukan keselamatan yang sedang berkhidmat… mengharap sokongan padu daripada pegawai tertinggi angkatan tentera,” katanya.
Najib juga berkata, jika ada perasaan sangsi oleh pegawai tertinggi terhadap apa jua keadaan, ia boleh membawa unsur yang akan mematahkan semangat anggota pasukan keselamatan.
“Inilah masanya perlu merapatkan
barisan, memperlihatkan kesetiaan kerana dalam saat negara memerlukan
ketaatan dan kesetiaan, kita tampil ke hadapan dan menjadi barisan yang
boleh menjadi penyumbang semangat kepada perwira yang sedang berjuang,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan