KOTA KINABALU: Ketua kumpulan pengganas Sulu, Azzimudie Kiram
dipercayai telah berjaya meloloskan diri dari Malaysia dan kembali ke
tempat asalnya di selatan Filipina, kata Panglima Angkatan Tentera, Tan
Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata, pasukan keselamatan membuat kesimpulan itu
selepas menganalisa maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber
risikan.
"Azzimudie telah meninggalkan kumpulannya bersendirian dan dia telah
melarikan diri ke negaranya," kata Zulkifeli dalam satu sidang media
bersama dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada lewat petang
Jumaat.
Sementara itu, Ismail berkata, daripada maklumbalas pasukan
keselamatan di lapangan menunjukkan bahawa Azzimudie tidak lagi
bersama-sama dengan pengikutnya di sini.
Bagaimanapun, ditanya lebih lanjut bagaimana ketua pengganas itu
berjaya meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan, Zulkifeli
dan Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu
pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua
kumpulan penceroboh itu, Azzimudie Kiram, yang turut dikenali sebagai
Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.
Pada Khamis, seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu
dan mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan
kecil di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.
Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang
menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki
Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang
dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.
Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso
berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang
lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Operasi Daulat.
Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh
militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.
"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar
dari Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa
pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat
rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan
dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara
yang sesuai. Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis
di pantai timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari
Filipina.
Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina
menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka
akan dihadapkan di mahkamah negara itu.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan
militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan
kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas
gagal.
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset
ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis
pencerobohan militan Sulu itu.
Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan
terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala
sembilan anggota pasukan keselamatan cedera.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan