LAHAD DATU: Selepas seminggu Operasi Daulat, polis pada Isnin
mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan
sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.
Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan untuk membanteras penceroboh militan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.
Ahad lalu, seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung Batu
menjadikan jumlah pengganas militan yang mati setakat ini ialah 54 orang
manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan,
kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.
Pada 8 Mac pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap
kumpulan penceroboh militan itu yang diikuti dengan operasi susulan dan
penggeledahan bagi memburu mereka.
Bercakap pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri
Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di sini, Hamza berkata 22
mayat pengganas militan telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital
untuk bedah siasat.
Hamza turut membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat
pengganas militan itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang
mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.
Ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Inggeris pada Isnin bahawa
Azzimuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan itu, berjaya melarikan diri
dalam operasi pasukan keselamatan di Semporna, Hamza dengan tegas
menolak dakwaan berkenaan.
"Kalau saya tahu dia di Semporna sudah lama saya tangkap," katanya.
Beliau turut menafikan laporan bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya. Sehingga kini tiada laporan polis
diterima mengenai keganasan yang dilakukan pihak keselamatan," katanya.
Beliau berkata kejadian pada Ahad yang menyebabkan seorang lelaki
cedera dan seorang remaja lelaki maut berlaku hampir dengan rumah yang
menjadi sasaran pasukan keselamatan.
"Orang kampung biasa semuanya telah dipindahkan," katanya.
Sejak krisis pencerobohan lapan anggota polis terkorban dalam
serangan pengganas iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di
Semporna pada 2 Mac. BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan