Rabu, 6 Mac 2013

Pasukan Keselamatan Temui Kubur Tempatkan Mayat Penceroboh

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan Malaysia membongkar sebuah kubur besar yang menempatkan sembilan mayat penceroboh di Kampung Tanduo di sini.

Gambar-gambar mayat dan operasi berterusan yang dikendalikan di tempat kejadian dipaparkan oleh Menteri Pertahanan pada Rabu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan bersenjata negara berjaya merampas senjata-senjata semasa operasi tersebut.

“Ini membuktikan, mayat yang kami peroleh dikumpulkan dan kami dalam proses untuk mengumpulkan lebih banyak mayat,” katanya pada sidang media secara langsung di TV3 di Felda Sahabat di sini.

Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa 13 mayat dijumpai semasa operasi itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada anggota keselamatan Malaysia yang cedera dalam operasi berkenaan.

“Kami menjalankan bedah siasat sepenuhnya terhadap mayat bagi mengenal pasti bagaimana mereka mati,” katanya.

Kedua-dua menteri itu turut menunjukkan gambar-gambar senjata yang dirampas di tempat kejadian dan mayat seorang lelaki bersenjata yang ditembak dan mati pada pukul 6.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Nafi Khabar Angin Di Pesisiran Pantai Sabah

KUCHING: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu menafikan khabar angin yang memberi gambaran bahawa pergerakan di pesisiran pantai timur Sabah mempunyai kaitan dengan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Beliau berkata sebaliknya, pemeriksaan polis mendapati ia adalah pergerakan biasa masyarakat tempatan di kawasan terbabit, termasuk di Lahad Datu dan Semporna.

"Saya menyeru orang ramai jangan terus mempercayai khabar angin yang boleh menggemparkan masyarakat. Polis mengambil berat sebarang kejadian atau maklumat yang diterima untuk disiasat. Jangan risau," katanya kepada pemberita selepas istiadat pengebumian negeri mendiang DSP Michael Padel di Tanah Perkuburan Pahlawan di sini.

Beliau berkata, polis bersama Angkatan Tentera Malaysia meningkatkan kehadiran di seluruh negeri Sabah, khususnya di pantai timur dan pulau berhampiran bagi memastikan keselamatan manakala orang awam juga bolehmenyalurkan maklumat kepada bilik gerakan polis Sabah.

Abdul Khalid turut menyatakan rasa terharu terhadap penghormatan oleh kerajaan negeri Sarawak agar mendiang Michael disemadikan di perkuburan pahlawan bersama wira Sarawak, termasuk Datuk Temenggong Kanang Langkau.

Katanya penghormatan itu akan meningkatkan lagi semangat pasukan polis di negara ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: