Dalam kejadian, kira-kira jam 10.45 pagi itu, prebet berkenaan dikenali sebagai Ahmad Hurairah Ismail, 24, bersama beberapa anggota lain dari Tujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Tawau sedang menjejak saki baki pengganas yang sebelum itu, pada kira-kira jam 7.45 pagi bertempur dengan mereka di Sungai Nyamuk.
Mangsa yang cedera di pipi kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum diterbangkan ke Hospital Duchess Of Kent di Sandakan untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, dalam pertempuran kedua itu, pasukan keselamatan berjaya menembak mati tiga pengganas terbabit, manakala dua lagi melarikan diri dan seorang anggota keselamatan terkorban.
Katanya, anggota terbabit sebelum itu sedang melakukan kerja penggeledahan dan pembersihan di kawasan Sungai Nyamuk sebelum terserempak dengan saki baki pengganas terbabit.
"Saya sendiri melawat Kampung Tanduo dan kerja pembersihan sudah selesai dijalankan," katanya.
Difahamkan, jenazah Prebet Ahmad Hurairah dijangka diterbangkan ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan, malam ini.
Lahad Datu: Al-Fatihah Untuk Prebet Ahmad Hurairah Ismail
Jenazah Ahmad Hurairah Ismail, anggota tentera yang terkorban di Sungai Nyamuk, Lahad Datu pagi tadi akan dibawa pulang ke kampung di Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan. Jenazah Allahyarham akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Tawau jam 4 pagi esok an dijangka tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, jam 8 pagi.
Bapa reda kematian anak berjuang pertahan negara
PASIR MAS 12 Mac - "Saya reda kerana kematian arwah adalah untuk mempertahankan negara," kata Ismail Husin, bapa Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Sungai Nyamuk, Lahad Datu, Sabah hari ini.
Ismail, 55, berkata, beliau menerima berita sedih yang menimpa anaknya itu kira-kira 2.30 petang ini daripada seorang rakan Allahyarham yang menelefon memberitahu anaknya terlibat dalam pertempuran dan terkorban.
"Kali terakhir (Allahyarham) jumpa saya ialah pada hari raya Aidilfitri 2010, selepas itu kami banyak berhubung melalui telefon dan SMS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang di sini hari ini.
Ahmad Hurairah, 24, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tawau, Sabah, terkorban dan dua penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, berhampiran Kampung Tanjung Batu.
Ismail, seorang petani, berkata, Allahyarham anak ketiga daripada 12 beradik dan seorang anak yang sentiasa mengambil berat serta banyak membantu keluarga.
"Kali terakhir arwah menelefon saya pada 1 Mac, semasa itu dua anggota polis terkorban. Arwah beritahu suruh doakannya sentiasa selamat sebab dia nak pergi ke Lahad Datu.
"Kali terakhir arwah (menghantar) SMS ialah 10 Mac (Ahad) beritahu dia kena standby untuk ke Lahad Datu," katanya sambil memberitahu Allahyarham telah empat tahun berkhidmat dalam tentera.
Ibu Allahyarham, Rahmah Mamat, 50, berkata, beliau memang sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu tetapi demi perjuangan untuk mempertahankan negara, beliau reda dengan ketentuan Allah SWT itu.
Anggota keluarga, kenalan dan penduduk kampung mula berkumpul di rumah keluarga Allahyarham untuk menunggu ketibaan jenazah.
Jenazah Allahyarham dijangka tiba pagi esok dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang. - BERNAMA
Agong ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah
KUALA LUMPUR 12 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail yang gugur sewaktu melaksanakan tugas Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka amat berduka cita atas kehilangan pahlawan negara itu dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.
Baginda juga berharap agar setiap anggota keluarga Allahyarham Ahmad Hurairah di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan supaya sentiasa tenang serta tabah menghadapi ujian itu.
Allahyarham Ahmad Hurairah, 24, daripada Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja, Tawau, Sabah terkorban dalam pertempuran lima jam dengan kumpulan pengganas di Sungai Nyamuk dekat Tanjung Batu, hari ini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan