Selasa, 12 Mac 2013

Insiden Lahad Datu beri kesedaran supaya sentiasa siap sedia: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi kesedaran kepada semua pihak supaya bersiap sedia bagi memastikan pasukan keselamatan negara dilengkapi dengan senjata dan latihan lengkap bagi menghadapi ancaman luar.

Sambil menegaskan kerajaan tidak akan memandang ringan tentang keselamatan negara, beliau berkata segala usaha akan dilakukan untuk memastikan pasukan keselamatan sentiasa bersedia menangani kejadian seperti itu.

"Saya rasa kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia. Komunis meletak senjata pada 1989 dan sejak itu, Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil dalam tempoh yang cukup panjang.

"Kejadian itu (serangan di Lahad Datu dan Semporna) adalah ancaman luar dan kita perlu menanganinya. Jadi, sekiranya kami membuat keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan, janganlah rakyat mempertikaikannya pula.

"Mereka perlu melihatnya sebagai langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah kita," katanya ketika menjawab soalan Syed Abd Rahman Atan dalam Program Perbualan Bersama Perdana Menteri di TV3 anjuran akhbar New Straits Times di Seri Pentas, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, ketika diajukan soalan daripada Iskandar Naziri sama ada sama ada serangan pengganas di Lahad Datu akan menjejaskan peranan Malaysia dalam proses damai di selatan Filipina, Perdana Menteri berkata ia adalah dua isu berlainan kerana proses damai itu membabitkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Ia berbeza kerana proses damai itu membabitkan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)... mereka terus berbincang dan rundingan mengikut kerangka perjanjian.

“Ini kerana dalam tempoh tertentu ia akan mencapai kata putus, tapi kumpulan yang mencetuskan pergolakan di Sabah adalah kumpulan lain daripada MILF... mereka ada kumpulan tertentu termasuk ketua pengganas,” katanya.

Najib berkata pengganas di Lahad Datu agak berbeza daripada MILF dan mereka membuat tuntutan yang aneh dan tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

"Sebab itulah mereka menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang mendukacitakan. Bagaimanapun, kita akan tangani perkara ini dengan cara yang kita fikir wajar," katanya.

Diminta mengulas dakwaan media asing bahawa pengganas Sulu bertindak demikian kerana dihasut pihak tertentu di Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya, Najib berkata: "Apabila saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau memberitahu saya bahawa pihak mereka akan memulakan siasatan. Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh menarik iaitu mereka terdiri daripada golongan yang agak miskin.

"Sudah tentu mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu terhadap Malaysia dan oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat pembiayaan dari tempat lain.

"Apa yang disyaki itu nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat siasatan dan bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding jari kepada sesiapa," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan penonton, Agatha Martha Yong mengenai keupayaan pasukan keselamatan bagi menjamin kedaulatan sempadan negara, Najib berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa Malaysia memiliki kemampuan dan aset yang mencukupi untuk melindungi keselamatan rakyatnya.

"Saya rasa, untuk menangani pencerobohan bersenjata, kita memiliki aset yang diperlukan, tapi, seperti yang saya nyatakan tadi, peristiwa ini membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari segi kemampuan kita, dan kita harap akan dapat merapatkan jurang ini," katanya.

Beliau berkata, memandangkan timur Sabah mempunyai lantai laut sepanjang lebih 1,500 kilometer, maka negeri itu menghadapi ‘cabaran besar’ dari segi keselamatan dan sejajar dengan itu, langkah lebih ketat perlu diambil.

"Kita pastinya perlu mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di sana)," katanya.

Tiada ulasan: