LAHAD DATU: Meskipun tempoh 24 jam berakhir tanpa sebarang
pertempuran, Operasi Daulat yang memasuki hari ke-10, berlarutan dengan
operasi menggempur serta menjejak pengganas di Tanjung Batu dan Sungai
Nyamuk dekat sini, terus diperhebat.
Selain dua kawasan itu, operasi membersih dan menjejak militan yang
kini bergerak dalam kumpulan kecil terus diperkukuh, termasuk
mempertingkat sekatan jalan raya di luar kawasan operasi.
Operasi menggempur habis-habisan itu juga menyaksikan ketibaan dua
helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109, di
padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16 hari ini.
Gambaran Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
semalam bahawa Operasi Daulat kini di penghujung semakin jelas, dan
ketibaan helikopter jenis peninjau serta pengangkut menggunakan enjin
berkembar itu akan terus memperkukuh kekuatan sedia ada dalam usaha
menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Feb lepas.
Zulkifeli berkata ketibaan pesawat itu bakal disertai 12 kereta kebal
perisai berantai, beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan
kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia secara berperingkat.
"Langkah
menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan
kepada musuh daripada menceroboh negara ini sama ada di laut dan darat,"
katanya.
Berikutan gerakan ofensif yang makin diperhebat, Ketua Polis Negara
Tan Sri Ismail Omar dalam sidang akhbarnya petang tadi sekali lagi
mengingatkan orang ramai dan pengamal media agar tidak memasuki kawasan
Operasi Daulat bagi menjamin kelancaran serta kejayaan operasi itu.
Beliau berkata sekatan jalan raya berterusan juga membawa kepada
penahanan seorang lelaki yang didapati membawa bungkusan mengandungi dua
pedang samurai dan tiga bilah parang.
"Lelaki berusia 30-an itu ditahan pada 10.40 pagi dan dibawa ke Balai
Polis Cenderawasih untuk disoal siasat," katanya tanpa menjelaskan sama
ada lelaki itu warga tempatan atau rakyat asing.
Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 58 musuh,
manakala di pihak Malaysia, lapan anggota polis dan dua tentera gugur.
Pasukan keselamatan turut menahan 97 individu yang disyaki mempunyai
kaitan dengan kumpulan militan itu manakala 156 orang lagi ditahan
kerana berada dalam kawasan larangan.
Dalam pada itu, Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan
Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat
dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden
pencerobohan di Lahad Datu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jika
dilaksana, penubuhan itu antara lain bertujuan mengenal pasti motif
sebenar pencerobohan, termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai
militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan serta
kedaulatan negara.
"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini,
dan siapa yang membiayai atau merancang perkara menyentuh kepada
keselamatan nasional," katanya pada sidang akhbar di Sandakan pada
Khamis.
Hishammuddin, yang meninjau beberapa lokasi yang terlibat dengan
insiden pencerobohan, turut memaklumkan secara keseluruhan, keadaan
keselamatan di Sabah bertambah baik termasuk di Tawau, Semporna dan
Sandakan dengan keyakinan masyarakat umum terhadap ketenteraman di
negeri itu semakin meningkat. -BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan