Jumaat, 8 Mac 2013

Belajar Daripada Kesedaran Yang Mengejutkan


Pemandangan di Semporna pada masa kini.


Penulis, di Lahad Datu yang terletak kira-kira 400km dari Kota Kinabalu. -Foto THE STAR

LAHAD DATU: Dalam perjalanan ke bandar ini, seseorang harus melalui Silabukan, satu kawasan yang mempunyai pemandangan tepian pantai yang indah dan menarik.

Khabarnya, pada hari yang cerah, kita dapat melihat Pulau Tawi-Tawi jauh di ufuk yang merupakan sebahagian daripada wilayah Filipina.

Kata orang juga, pada hari yang cerah, kita akan dapat melihat bandar Bongao iaitu ibu kota Tawi-Tawi.
Majoriti penduduknya adalah orang Islam dan pekan ini dikatakan sedang pesat membangun.

Ia hanya mengambil masa 20 minit sahaja menggunakan bot laju untuk tiba di Sabah.

Itulah gambaran betapa dekatnya kita secara fizikal dengan sempadan Filipina.

Tetapi pada masa yang sama, ada satu dimensi lain kepada jarak yang dekat antara kita dengan wilayah Filipina ini.

Penduduk tempatan misalnya gemar memberitahu orang luar bahawa menjadi lumrah kepada sanak keluarga mereka di Filipina untuk datang berkunjung ke Sabah hanya untuk bermain bola atau bola tampar dan selepas itu naik bot semula dan kembali ke Filipina pada hari yang sama.

Sudah tentulah, ini semua berlaku tanpa perlu melalui proses imigresen terlebih dahulu.

Pengaruh Filipina ke atas masyarakat tertentu di negara kita Sabah sangatlah besar dan kuat sehinggakan pada sesetengah tempat kedai runcit dirujuk sebagai "sari-sari" dalam bahasa Suluk.

Malah jika kita berada di perkampungan nelayan Danggan Tungku, kita boleh melihat dengan jelas Pulau Sibutu yang merupakan sebahagian daripada kepulauan Tawi-Tawi.

Dari tempat di mana saya sedang berada sekarang, penduduk kampung bercakap dengan penuh ghairah tentang serangan udara yang dilancarkan oleh pasukan TUDM di kawasan persembunyian pengganas Sulu di Kampung Tanduo.

Saya tiba di pantai Timur Sabah ini pada Khamis pada saat pasukan keselamatan kita sedang melakukan operasi pembersihan selepas melancarkan serangan besar-besaran ke atas pengganas Sulu ini.

Hakikatnya, pantai yang mengadap Laut Sulu dan kawasan sekitarnya senantiasa menjadi kawasan yang diancam bahaya lanun dan juga puak militan yang menuntut kemerdekaan wilayah Mindanao.

Lanun yang mengganas di kawasan ini khabarnya dilengkapi dengan senjata canggih dan menggunakan bot laju berkuasa tinggi.

Mereka menjadi popular kerana berupaya merompak kapal kontena yang besar dan memiliki sejarah menculik pelancong malah pernah menyerang bandar-badar persisiran pantai di Sabah.

Pada tahun 1996, bandar Semporna pernah diserang oleh segerombolan lanun sebanyak dua kali termasuklah menyerang balai polis menggunakan senjata moden M-16.

Mereka datang dalam kumpulan yang besar antara 10 hingga 20 orang.

Kemudian pada tahun 2000, kumpulan Abu Sayyaf telah melancarkan gerakan menculik 21 orang pelancong dan pekerja resort di Pulau Sipadan milik Malaysia.

Lahad Datu pula terletak di daerah Tawau iaitu salah satu bandar besar di timur Sabah.

Bandar ini terletak kurang lebih 400km dari Kota Kinabalu dan mengambil masa sejam perjalanan dengan pesawat.

Pada 11 Februari lalu, sekumpulan puak Sulu yang bersenjata dari Filipina telah muncul di pekan Lahad Datu lalu 'menawan' Kampung Tanduo. Sejak itu seluruh dunia mengenali di mana terletaknya Lahad Datu.

Serangan ke atas wilayah timur Sabah ini telah turut membuka mata sebahagian besar rakyat Malaysia buat pertama kalinya tentang sejarah dan geografi kawasan ini.

Sebahagian besar daripada kita mungkin belajar untuk mengetahui buat pertama kalinya tentang etnik tertentu yang selama ini kurang dikenali atau didengari.

Misalnya etnik Bajau, Bisaya, Kadazan Dusun, Murut, Dumpas, Illanun, Kwijau, Maragang, Orang Cocos, Orang Sungai, Rungus dan kini sudah tentunya etnik Tausug atau Suluk.

Sebahagian daripada etnik ini telah bermastautin di Sabah sejak era kedatangan masyarakat Cina dari Laut Selatan lagi.

Atas sebab ini jugalah maka kita akan dapati, sebahagian besar daripada penceroboh yang membuat kacau di Sabah kini sangat arif dengan kedudukan geografi dan kawasan sekitar berbanding dengan kita semua.

Dan berdasarkan maklumat inteligensia, kumpulan penceroboh tersebut sangat mendalami kawasan persekitaran mereka mendarat.

Kesimpulannya ialah mereka pernah atau acap kali menziarahi kawasan ini dan mengetahui selok belok persekitarannya.

Dua daripada anggota polis kita diserang hendap dan ditembak mati di kawasan ini manakala enam lagi terbunuh ketika memasuki kawasan rumah air di Semporna yang mana adalah disyaki terdapat penduduk kampung memberi laluan atau perlindungan kepada mereka untuk bersembunyi dan memasang perangkap kepada anggota keselamatan untuk memasuki perangkap itu.

Warga Filipina ini tidak menunjukkan sebarang belas kasihan apabila mereka menyerang anggota keselamatan kita.

Mereka memenggal kepala dua daripada anggota polis kita dan bertindak kejam sebelum melakukan pembunuhan itu termasuklah mencungkil keluar mata salah seorang daripada anggota polis yang terkorban itu.

Ketaksuban dan kesediaan kumpulan ini untuk mati atas nama perjuangan mereka yang mendorong pasukan keselamatan kita melancarkan serangan habis-habisan.

Insiden terbaru ini hanya memberi satu pengajaran berguna kepada kita semua. Sementara kita mengakui pantai Sabah adalah begitu luas dan besar tetapi realitinya ia mendedahkan Malaysia kepada bahaya ancaman musuh luar.

Jaminan daripada pihak berkuasa bahawa segala-galnya selamat dan terjamin hanya akan bermakna sekiranya langkah konkrit diambil untuk menangani isu ini secara serius.

Mahu tidak mahu negara perlu melabur untuk menjaga keselamatan di sepanjang 4,675km persisiran pantai termasuklah di Zon Ekonomi Eksklusif di luar persisiran pantai kita.

Pencerobohan yang berlaku di Sabah menunjukkan betapa terdedahnya negara kita sekiranya menerima ancaman daripada luar dan kali ini ancaman tersebut datangnya dari sekumpulan pemberontak negara luar yang lengkap dengan latihan dan senjata.

Amatlah membimbangkan jika serangan itu dilakukan oleh pasukan tentera asing.

Kita tidak boleh lagi menganggap mudah bahawa Malaysia adalah bebas daripada sebarang ancaman luar.

Ya benar, negara kita telah dirahmati oleh keamanan dan kestabilan tetapi insiden yang berlaku di Sabah adalah satu amaran yang jelas dan nyata.

Tiada ulasan: