Agbimuddin yang mengetuai serangan di Lahad Datu, cabut lari sejak 11 Mac lalu, seminggu selepas Ops Daulat dilancarkan.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata maklumat itu diperoleh hasil risikan pasukan keselamatan yang mendapati dia kini bersembunyi di pulau kecil selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pasukan keselamatan negara berkenaan.
Katanya, Agbimuddin dipercayai bersembunyi daripada dikesan pengikutnya di selatan Filipina kerana bimbang keselamatannya terancam berikutan tindakan meninggalkan kumpulan pengganas pimpinannya di FELDA Sahabat.
“Dia sekarang bergerak dengan kumpulannya dari pulau kecil ke pulau kecil lain dan berapa jumlah pengikutnya kita tidak pasti,” katanya di sini, semalam.
Mengulas dakwaan sebuah blog yang mengatakan ketua pengganas itu mati ditembak pengikutnya sendiri sebelum dikebumikan, Zulkifeli menafikan dakwaan itu.
“Kita tidak tahu sumber saluran berita itu... maklumat yang kita dapat, dia masih hidup. Kita tidak pasti ia disebarkan hanya untuk mengelirukan pengikutnya,” katanya.
Zulkifeli berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pasukan keselamatan menjejaki ketua pengganas itu di Filipina kerana itu luar bidang kuasa ATM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan