"SEPERTI Belanda minta tanah", memperihalkan ketamak-halobaan Syarikat Hindia Timur Belanda (Verenigde Oostindische Compagnie atau VOC)
menjarah tanah Melaka selama lebih 183 tahun.
Peribahasa baru pula "seperti
Sulu jual tanah", ini menggambarkan sikap lintah darat Kesultanan Sulu
dalam serah jual tanah Borneo Utara seluas 29,388 batu persegi yang kini
menjadi bahagian timur negeri Sabah.
Tuntutan buruk siku Sultan Sulu bermula sejak 1921 sehingga
kini setelah 135 tahun usia Triti 1878 antara Sultan Sulu dan Baron de
Oveberbeck serta bergilir pemiliknya daripada Syarikat Borneo Utara
British (SBUB) kepada United Kingdom Great Britain sehingga Sabah
merdeka bersama Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
‘Kesultanan Sulu’ sekarang sebenarnya adalah ‘Sultan tanpa negara’
apabila menyerahkan kedaulatan kepada Amerika Syarikat melalui Perjanjan
Carpenter 1915 dan kini merdeka sebagai provinsi Filipina.
Lebih awal
lagi pada Protokol Madrid 1885, kepulauan Sulu diiktiraf sebagai
kedaulatan Sepanyol sementara British memperoleh hak terhadap Borneo
Utara.
Berbanding Sabah adalah lebih strategik untuk menuntut kemerdekaan
ibu negara ‘Kesultanan Sulu’ di Jolo bersama wilayah asal yang lain
iaitu Sulu, Basilan, Palawan, Tawi-Tawi dan Zamboanga yang kini menjadi
Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di sebelah barat daya Filipina.
Jurai keturunan Sultan Sulu selepas Sultan Jamalul Kiram II yang
mangkat tanpa waris pada 1936 sudah tidak disahkan taraf diraja oleh
Republik Filipina melalui Presiden Manuel Quezon. Presiden Diosdado
Macapagal mengiktiraf Sultan Esmail Kiram (1950-1972) sementara Presiden
Ferdinand Marcos menyambung pengiktirafan kepada anakanda baginda
Sultan Mahakuttah Kiram (1974-1986) semata-mata untuk kepentingan
politik Manila terhadap wilayah Sulu dan Sabah.
Sejak 1920-an Sultan Sulu telah beberapa kali cuba bermuslihat
memungkiri janji termasuk untuk menyemak dan menginterpretasi semula
Triti 1878, menggunakan khidmat agen Nicasio Osmena dan Calixto Leon
untuk menjual Borneo Utara kepada SBUB pada harga AS$15 juta,
mempengaruhi senat dan menyerahkan hak tuntutan kepada Filipina.
Osmena
dan Leon kemudian telah memperdaya dengan menjual surat kuasa Sultan
Sulu kepada Dr Stanislas Lazovert yang mendaftarkan Syarikat Pembangunan
Borneo di Panama untuk menuntut Borneo Utara.
Sehingga kini terdapat lebih 20 orang mendakwa sebagai ‘Sultan
Sulu’ dan menuntut Sabah walaupun mereka, sama ada berwarganegaraan
Filipina atau Malaysia. Soalnya siapakah sekarang yang beraja di mata
dan bersultan di hati?
Teks asal triti daripada Sultan Borneo (Brunei)
pada 1877 dan Sultan Sulu setahun kemudian masih terpakai dengan
beredarnya cakerawala, matahari dan bulan yang sama walau ‘Sultan Sulu’
telah bertukar orang. Sabah secara sejarah dan undang-undang adalah sebuah wilayah yang bebas daripada romantisme ‘bumi orang Sulu’.
Triti daripada Sultan Borneo yang Melantik Gustavus Baron
de Overbeck sebagai Maharaja Sabah (Borneo Utara) dan Raja Gaya dan
Sandakan 1877 adalah seperti berikut:
"Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan
perkara ini, beta Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab, Sultan
Borneo mengirim salam kepada semua.
Bahawasanya, beta berasa perlu untuk menganugerahkan kepada
sahabat beta yang setia serta yang dikasihi, Baron Gustavus de Overbeck
dan Alfred Dent Esquire, bahagian tertentu negeri di bawah kekuasaan
beta yang terdiri daripada seluruh bahagian utara Pulau Borneo dari
Sungai Sulaman di sebelah pantai barat ke Teluk Maludu dan ke Sungai
Paitan dan kemudiannya seluruh bahagian pantai timur sehingga ke Sungai
Sibuku yang terdiri daripada daerah Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk,
Sandakan, Kinabatangan dan Mumiang dan tanah yang lain sejauh hingga ke
Sungai Sibuko sehingga meliputi wilayah Kimanis dan Binoni, wilayah
Pappar dan wilayah Teluk Gaya dan Teluk Sapanggar dengan semua tanah
daratan dan pulau yang menjadi sebahagian daripada kawasannya dan begitu
juga Pulau Banquey bagi balasan tertentu yang dipersetujui antara kami.
Dan bahawasanya, Gustavus Baron de Overbeck tersebut ialah ketua dan satu-satunya sahaja wakil sah Syarikatnya di Borneo.
Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta,
Sultan Abdul Mumin ibni Al-Marhum Maulana Abdul Wahab hendak menamakan
dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai Pemerintah Tertinggi
wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan gelaran Maharaja Sabah
(Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan dengan kuasa hidup dan mati ke
atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta yang terletak
hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan hak untuk melupuskan harta
itu dan juga hak terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada
daripada jenis galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan dan dengan hak
untuk membuat undang-undang, membuat wang, mewujudkan tentera darat dan
tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan
dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya
sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan
segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh
pemerintah berdaulat dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan
kerelaan beta sendiri.
Dan beta menyeru kepada seluruh negara asing yang telah beta
wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan supaya mengakui
bahawa Maharaja tersebut sebagai diri beta sendiri di wilayah-wilayah
tersebut dan menghormati kuasanya di wilayah itu dan jika sekiranya
berlaku kematian atau persaraan dari jawatan oleh Maharaja tersebut maka
orang-orang yang sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan
pemerintah tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo
hendaklah demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Maharaja Sabah
dan Raja Gaya dan Sandakan, dan segala kuasa yang dinyatakan di atas
hendaklah terletak hak padanya."
Termaktub triti ini yang diperbuat di Istana Brunei pada 29 Disember 1877.
Triti daripada Sultan Sulu yang Melantik Gustavus Baron de Oveberbeck sebahagai Dato‘ Bendahara dan Raja Sandakan, 1878.
"Kepada seluruh negara di muka bumi ini yang ada kaitannya dengan
perkara ini, beta Sultan Mohammad Jamalul Alam ibni Al-Marhum Muhammad
Fadhl, Sultan Sulu dan wilayah-wilayah tanggungannya bagi pihak beta,
waris-waris dan pengganti beta dan dengan persetujuan dan nasihat
datu-datu dengan ini membenarkan dan menyerahkan kepada Gustavus Baron
de Overbeck dan Alfred Dent Esquire serta waris-warisnya dan kongsinya
dan penggantinya dan walinya sampai selama-lamanya sekalian perintah dan
kuasa yang beta punya atas sekalian jajahan-jajahan dan tanah-tanah
yang tertakluk kepada beta di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai
Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah-tanah di pantai
sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan yang termasuk
sekalian jajahan-jajahan di pantai Sungai Pandasan dan Kinabatangan dan
Memiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan yang terdiri daripada
daerah Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kinabantangan dan
Mumiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan dan pesisir di sebelah
selatannya itu di pantai Teluk Darvel sampai Sungai Sibuku bersama-sama
semua pulau dalam lingkungan tiga liga laut.
Dengan yang demikian, maka ketahuilah semua yang ada bahawa beta,
Sultan Mohammad Jamalul Alam ibni Al-Marhum Muhammad Fadhl, Sultan Sulu
hendak menamakan dan melantik Gustavus Baron de Overbeck sebagai
Pemerintah Tertinggi wilayah-wilayah yang tersebut di atas dengan
gelaran Dato‘ Bendahara dan Raja Sandakan dengan kuasa hidup
dan mati ke atas penduduknya, dengan segala hak mutlak ke atas harta
yang terletak hak kepada beta bagi isi bumi negeri ini dan juga hak
terhadap pengeluaran hasil bumi negeri ini sama ada daripada jenis
galian, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan-haiwan dan dengan hak untuk
membuat undang-undang, membuat wang, mewujudkan tentera darat dan
tentera laut, mengenakan cukai kastam ke atas perdagangan dan perkapalan
dalam dan luar negeri dan cukai dan yuran lain ke atas penduduknya
sebagaimana yang dilihatnya sebagai baik atau perlu, berserta dengan
segala kuasa dan hak lain yang biasanya dijalankan dan dimiliki oleh
pemerintah berdaulat dan yang dengan ini beta wakilkan kepadanya dengan
kerelaan beta sendiri.
Maka dengan ini, beta menyeru kepada seluruh negara asing yang
telah beta wujudkan persetiaan dan persahabatan serta perikatan dan
kepada sekalian datu, bangsawan, gabenor, pembesar dan rakyat beta
supaya mengakui bahawa Dato‘ Bendahara tersebut sebagai diri
beta sendiri di wilayah-wilayah tersebut dan menghormati kuasanya di
wilayah itu dan jika sekiranya berlaku kematian atau persaraan dari
jawatan oleh Dato‘ Bendahara tersebut maka orang-orang yang
sewajarnya dilantiknya sebagai pengganti dalam jawatan pemerintah
tertinggi dan Gabenor Besar wilayah Syarikat di Borneo hendaklah
demikian juga menggantikan jawatan dan gelaran Dato Bendahara dan Raja
Sandakan serta segala kuasa yang dinyatakan di atas hendaklah terletak
hak padanya.
Termaktub triti ini yang diperbuat di Istana Sulu pada 22 Januari 1878.
Sultan Mata Duitan
Sejak Borneo Utara dihadiahkan oleh Sultan Brunei pada 1704,
Kesultanan Sulu tidak menunjukkan minat untuk memajukan kawasan
tersebut. Sebahagian kecil kawasan Borneo Utara dari Sungai Kimanis di
pantai barat laut hingga ke Sungai Kinabantangan di Timur Laut
dikonsesikan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) pada 1763,
tetapi SHTI kemudian meninggalkan kawasan berkenaan pada 1805.
Sebahagian besar Borneo Utara termasuk Pulau Balambang dan Pulau Palawan
pula dikonsesikan kepada Syarikat Perdagangan Amerika Borneo pada 1865.
Dalam tempoh itu menunjukkan bahawa telah banyak kali kawasan
Borneo Utara telah bertukar tangan serahan. Sungguh begitu, British
masih memperaku pemilikannya melalui surat Konsul Jeneral British di
Brunei, “Wilayah ke sebelah utara Borneo hingga Tanjung Usang adalah
milik kita. Ia telah diserahkan oleh orang-orang Sulu dan kita telah
menguasai bahagian itu sebanyak dua kali (dalam tahun 1774 dan 1805);
bahawa penyerahan itu telah diakui hari ini oleh orang-orang Sulu…”
Sebenarnya wilayah pantai timur laut Borneo dalam Triti 1878
dengan Sultan Sulu adalah termasuk dalam kawasan Triti 1877 dengan
Sultan Brunei tetapi Overbeck tetap meneruskan urusniaga tersebut untuk
mengelakkan konflik pertindanan hak milik pada masa depan.
Kewibawaan dan pendapatan Sultan Sulu yang terjejas menyebabkan
Sultan Jamalul Kiram II pada tahun 1921 menuntut tambahan bayaran
tahunan mengikut kadar hasil serta transaksi melalui mata wang ‘pound
sterling’ (£) dan bukannya ‘straits dollar’ ($) kepada SBUB iaitu
setelah 43 tahun pembayaran dibuat melalui tiga orang Sultan terdahulu
seperti Triti 1878.
Walaupun permintaan baginda telah ditolak tetapi pada 1930 sekali
lagi Sultan Jamalul Kiram II menuntut pembayaran wang tambahan berserta
sebidang tanah pertanian dan sebuah istana kediaman di Sandakan.
Baginda kemudian mengadu kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Hugh
Clifford untuk menginterpretasi semula Triti 1878 yang menyebut
“Perjanjian ini terpakai selagi mana ada peredaran cakrawala matahari
dan bulan” dengan menyimbolkan Sultan itu merujuk kepada Sultan Jamalul
Alam sebagai matahari sementara SBUB sebagai bulan.
Menurutnya apabila ‘matahari’ (Sultan Jamalul Alam) sudah
tiada lagi maka Triti 1878 sudah tidak terpakai lagi. Malah baginda
mengusulkan penggunaan terma luput tempoh setakat 50 tahun sebagaimana
amalan biasa empayar British.
Terminalogi syarat ‘matahari dan bulan’ (al-sham wa-al qamar)
dengan sebahagiannya ditambah dengan ‘bintang’ dalam surat perjanjian
lama adalah menunjukkan serapan unsur-unsur Islam yang berinsiprasi
daripada Surah Yasin: 38, Ar-Rahman: 5, Al-Zumar: 5 dan Yunus: 15 yang
bermaksud terpakai sehingga ke hari kiamat.
Sebenarnya adalah lebih logik jika baginda mendakwa mendapat mimpi
seperti Nabi Yusuf AS yang melihat 11 bintang bersama matahari dan bulan
tunduk hormat kepadanya untuk membatalkan Perjanjian 1878.
Bermula 1899, Sultan Jamalul Kiram II mula menuntut Pulau Taganak dan
Baguan yang walau pun terletak di luar Triti 1878 tetapi telah ditadbir
oleh SBUB sejak 1878 bersama Borneo Utara yang lain.
Setelah beberapa
kali merayu akhirnya Sultan Jamalul Kiram II bertukar fikiran untuk
menyerahkan pulau-pulau di luar tiga liga laut antara Banguey dengan
teluk Sibuku kepada SBUB. Perjanjian tambahan kepada Triti 1878 pada 29
April 1903 itu menjadikan Sultan Jamalul Kiram II menerima wang serahan
tambahan sebanyak $300 setahun termasuk tunggakan dikira daripada 1878
menjadikan nilai keseluruhan wang serahan setiap tahun adalah $5,300.
Adalah tidak mustahil untuk waris-waris Sultan Sulu termasuk Jamalul
Kiram III tidak menyelidiki fakta-fakta daripada perjanjian dan triti
lama ini kerana bapa saudaranya Sultan Jamalul Kiram II pernah mengakui
kehilangan surat asal dan mendapatkan salinan pada pada 19 Mei 1921
daripada SBUB.
Selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II, Dayang Hajah Piando
Kiram sebagai pentadbir harta Allahyarham dan penerima tertinggi warisan
wang penyerahan pernah menawarkan perubahan terma bayaran $5,300
setahun kepada bayaran sekaligus (lump sum). Suaminya
Dato’ Ombra Amilbangsa kemudian menawarkan kepada kerajaan Filipina
menjadikan Borneo Utara sebagai sebahagian daripada wilayah Filipina dan
membayar ganti rugi kepada waris Sultan Sulu sebanyak₱500,000 secara
ansuran selama 10 tahun.
Sultan Esmail Kiram (1950-1974) pernah menghantar notis pembatalan
serahan Borneo Utara kepada British, SBUB dan Setiausaha Agung
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 November 1957 dengan
tarikh kuat kuasa pada 22 Januari 1958 iaitu setelah 80 tahun usia
Perjanjian 1878.
Waris Kesultanan Sulu, Esmail Kiram II telah menuntut Malaysia
menyerahkan Sabah atau membayar pampasan ganti rugi sebanyak AS$10
bilion dan mengugut jika tuntutan tidak dipenuhi, beliau akan membawanya
ke Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) atau mengistiharkan jihad ke
atas Malaysia.
Amat menyedihkan apabila Sultan Sulu dengan mudahnya menabalkan
orang putih sebagai Raja Gustavus Baron de Overbeck dan Raja James
Brooke tetapi enggan mengiktiraf kedaulatan Malaysia sebuah negara
berketua-negarakan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili sembilan
raja-raja Melayu.
Perutusan waris Sultan Sulu pada 5 Februari 1962 menyatakan
kesanggupan mereka menyerahkan wilayah Borneo Utara kepada Republik
Filipina. Kesultanan Sulu yang mendapat Borneo Utara secara percuma
sebagai hadiah daripada Kesultanan Brunei telah mendapat hasil lebih
RM700,000 daripada sentimental dan nostalgia Sabah sebagai sebahagian
Negara Sulu.
Sultan Brunei yang menjadi Sultan terkaya di dunia hari ini tidak
pernah ‘buruk siku’ dengan Labuan, Sabah dan Sarawak yang kini menjadi
negeri dalam Malaysia dan Kalimantan menjadi provinsi Indonesia.
Ironinya, Brunei dengan susur galur sejarah sejak 1363 dan kekal
dengan sistem beraja mutlak sehingga ke hari ini adalah negara terkecil
dengan tidak sampai 0.8 peratus daripada keluasan Borneo dan berkongsi
pulau ketiga terbesar di dunia itu.
Waris Kesultanan Sulu perlu hidup pada kurun ke-21 bukan kurun
ke-19 atau ke-18 kerana lebih awal daripada itu waris (jika ada)
Kesultanan Po Ni pada kurun ke-14 juga berhak untuk menuntut kedaulatan
Brunei, Sabah dan Sarawak. Sabah kini hanya sebahagian sejarah dengan
Kesultanan Sulu sebagaimana Kalimantan Selatan dengan Kesultanan Banjar
dan Sarawak dengan Kesultanan Brunei.
Jika menjejak salasilah Kesultanan Sulu sendiri, ia bermula
dengan Sultan Sulu pertama, Paduka Mahasari Sultan Shariful Hashim Syed
Abu Bakar yang berasal dari negeri Johor. Hakikatnya Raja Overbeck lebih
‘berdaulat’ kerana dapat menjual semula Borneo Utara kepada Alfred Dent
dalam tempoh satu tahun dengan harga £120,000 (pound sterling) daripada ‘Sultan Sulu’ sekarang yang ditulah sejarah silam kerana menggadai tanah jajahan hanya untuk $5,300 (straits dollar)!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan