LAHAD DATU - Kumpulan pengganas Sulu yang tertekan selepas
terperangkap dengan operasi besar-besaran pasukan keselamatan kini
menukar kepada taktik gerila dengan berpecah kepada kumpulan-kumpulan
kecil bagi menyelamatkan diri.
Nasib mereka kini ibarat telur di hujung tanduk setelah pasukan
keselamatan menggandakan kekuatan dengan penambahan anggota zon operasi
bagi mempercepat proses membersihkan Lahad Datu daripada pengganas
berkenaan sekali gus menamatkan konflik.
Ops Daulat di Lahad Datu yang masuk hari kelima semalam menyaksikan
seorang lagi pengganas Sulu mati dibunuh di Kampung Tanduo menjadikan
jumlah keseluruhan pengganas yang maut 53 orang.
Selain itu, 27 lelaki yang mendakwa sebagai nelayan turut ditahan
menjadikan jumlah tahanan akibat konflik tersebut kini 106 orang. Ini
termasuk lapan lagi tali barut yang ditahan semalam.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin
memberitahu, kumpulan pengganas Sulu kini telah berpecah dan bergerak
dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Beliau menambah, risikan yang dibuat pasukannya mendapati kumpulan
tersebut kini telah terkepung sepenuhnya dan hanya bergerak antara
Kampung Tanjung Batu dan Tanduo.
"Kawasan kepungan kita di Kampung Tanduo adalah sekitar empat kilometer dan begitu juga di Tanjung Batu.
"Ketika ini, pasukan kita telah mengepung kedua-dua kawasan tersebut menyebabkan mereka hanya bergerak antara kedua-dua kampung.
"Pasukan kita juga telah mengesan seorang daripada mereka yang cuba
keluar daripada kepungan dan berjaya menembak mati musuh tersebut,"
katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya lagi, operasi menggeledah dan mencari kini tertumpu di
kawasan Kampung Tanduo selepas mendapati musuh telah bergerak ke Tanjung
Batu.
"Selesai kita bersihkan Tanduo, kita akan masuk ke Kampung Tanjung Batu dan adalah mustahil untuk mereka melepasi kepungan ini.
"Musuh yang tidak dapat lari bersembunyi di Kampung Tanduo bukan di
rumah-rumah, tetapi di semak dan hutan tebal yang terdapat di kawasan
tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, permukaan bumi yang berpaya dan sebagainya di antara kedua-dua kampung turut dikawal ketat pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, kor bantuan tempur dari Kuching, Sarawak berlepas ke
Lahad Datu semalam bagi membantu operasi menggempur habis-habisan dan
memburu saki-baki penceroboh di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, operasi susulan dan
penggeledahan bagi memburu saki-baki penceroboh militan kembali
menyaksikan kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan
penceroboh militan itu.
Beliau berkata, kawasan Felda Sahabat turut bergegar dengan beberapa
bunyi dentuman bom dari kawasan zon merah pada pukul 1 pagi dan 7.30
pagi dengan bunyi pesawat dan helikopter berlegar di ruang udara kawasan
ground zero itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan