Rabu, 6 Mac 2013

Misuari Beri Amaran Kepada Malaysia

MANILA - Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak membunuh para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.

Misuari turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengapa-apakan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin.

"Sejurus anda berbuat demikian ia sama dengan mengisytihar perang terhadap orang kami dan MNLF. Ia menjadi tugas untuk kami melindungi orang kami," katanya.

"Setiap titik darah mereka adalah suci buat kami,' tambah Misuari.

Misuari bagaimanapun menafikan beliau merupakan dalang dalam kejadian pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram di Sabah.

"Menjadi pembiaya kewangan bukannya satu persoalan.

"Kenapa saya perlu menjadi pembiaya para pengikut Sultan? Hanya kira-kira 200 orang (pengikut Jamalul Kiram yang menceroboh Sabah). Itu bukannya cara saya," katanya kepada pemberita semasa menemui sultan pengganas itu di rumahnya di sini.

Jamalul Kiram yang mendakwa sebagai Sultan Sulu mengarahkan pengikut-pengikutnya yang diketuai adiknya menceroboh Lahad Datu pada Februari lalu kerana mendakwa ia merupakan tanah warisan Kesultanan Sulu.

Misuari berkata, sebagai pemimpin MNLF, dia mampu untuk menggerakkan seramai 4,000 orang untuk memburu anggota-anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang pernah menjadikan warga asing sebagai tebusan di Mindanao.

Namun, beliau tidak menafikan sebahagian pengikut Jamalul Kiram merupakan anggota MNLF.

"Mereka (anggota-anggota MNLF) pergi ke sana (Sabah) tanpa pengetahuan saya.

"Saya tidak mengarahkan sesiapa untuk menyertai mereka," katanya.

Misuari pernah ditangkap di Malaysia pada tahun 2001 kerana dituduh mengetuai pemberontakan yang menyebabkan kira-kira 100 orang terbunuh di selatan Filipina.

Bagaimanapun, sebuah mahkamah telah membebaskan Misuari kerana tiada bukti yang mencukupi bagi mendakwa beliau menjadi dalang dalam serangan di Pulau Jolo.

Sementara itu, Presiden Filipina, Benigno Aquino III sebelum ini berkata, krisis yang berlaku jelas menunjukkan ada konspirasi sehingga menyebabkan Jamalul Kiram dan para pengikutnya membuat tuntutan ke atas Sabah.

Aquino menyatakan Jamalul Kiram perlu membelanjakan sekurang-kuranya 100,000 peso (RM7,615) bagi menyewa sebuah bot besar untuk menghantar para pengikutnya ke Lahad Datu.

Menurutnya, keluarga Kiram III menggunakan dua buah bot besar dan sebuah bot laju ke Sabah.
Aquino menjelaskan, Jamalul Kiram sendiri tidak mungkin mampu untuk membiayai operasi itu kerana beliau menerima bantuan kebajikan daripada pemerintah bagi menjalani rawatan dialisis. - Agensi

Tiada ulasan: