Isnin, 4 Mac 2013

Polis Buru Lelaki Bersenjata Melarikan Diri

LAHAD DATU: Pasukan polis menyisir di tepi pantai di Semporna untuk memburu lelaki bersenjata yang melarikan diri berikutan serangan hendap tiga hari lalu yang menyaksikan enam anggota polis dan enam lelaki bersenjata ditembak mati.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib pada Isnin berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah juga menentukan jenis senjata yang digunakan oleh lelaki bersenjata di Kg Simunul.

Beliau berkata, polis menganggarkan tidak lebih daripada 10 lelaki bersenjata terlibat dalam kejadian yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu di Kampung Tanduo dekat sini.

Hamzah berkata, jenazah anggota polis dihantar pulang untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Sabah dan Semenanjung selepas bedah siasat pada Isnin.

Beliau berkata, polis Malaysia bekerjasama dengan angkatan tentera bagi berhadapan dengan kumpulan bersenjata Sulu yang melakukan pencerobohan di Kampung Tanduo.

“Kami memanfaatkan aspek teknikal tentera tetapi operasi masih di bawah polis,” katanya.

Hamza berkata, polis juga cuba untuk mengesahkan laporan mengenai 10 penceroboh, di mana tiga daripadanya dikatakan bersenjata dan memakai pakaian seragam ‘camaflouge’ dikesan di dua kampung di daerah Kunak.

Beliau berkata, penduduk dari kedua-dua kampung dibenarkan pulang ke rumah. Mereka dipindahkan berikutan laporan yang mengesan berlakunya pencerobohan pada lewat Sabtu.

Polis Buru Lelaki Bersenjata Di Kampung Salimbungan

SEMPORNA: Keadaan menjadi tegang di Kampung Salimbungan kira-kira pukul 1.30 tengah hari, memaksa pekedai menutup kedai masing-masing apabila anggota polis ditempatkan di kawasan sekitar bandar ini.

Penduduk kampung tersebut, yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada bandar Semporna diarahkan meninggalkan rumah masing-masing selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mula berkawal di beberapa lokasi.

Dipercayai pasukan itu sedang mencari kumpulan lelaki bersenjata Sulu yang mungkin menyelinap masuk ke kampung berkenaan selepas pertempuran senjata di kampung Siminul yang terletak berdekatan.


Pencerobohan: Malaysia Perlu Ikut Undang-Undang Antarabangsa

KOTA BARU: Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva 1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah, kata seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Isnin.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap soal pencerobohan.

Beliau berkata Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang.

"Kita tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka (kumpulan bersenjata) dan tindakan kita mesti mengikut protokal yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan gagal menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih awal sehingga menyebabkan pertumpahan berdarah.

Terdahulu, beliau merasmikan program persijilan asas kejuruteraan penerbangan untuk lesen DCAM Part-66, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), bagi anggota tentera yang bakal bersara di sini.

Setakat ini, lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dari Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac.

Mengenai gambar lelaki dipenggal kepala tersiar dalam laman web kononnya dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata itu, Abdul Aziz berkata ia merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.

"Gambar itu ditulis dengan perkataan 'Lahad Datu' di bawahnya untuk mengambarkan peristiwa itu berlaku di Lahad Datu dan ini menampakkan niat jahat pihak tertentu terhadap kerajaan," katanya.

Beliau tidak menolak ia dilakukan untuk berseronok-seronok sahaja tetapi menegaskan bahawa implikasinya amat besar kepada negara dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang waras. BERNAMA

Tiada ulasan: