Isnin, 4 Mac 2013

Anwar Enggan Ulas Dakwaan Media Filipina

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim enggan mengulas lanjut laporan media asing yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli politik pembangkang di Sabah berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan penceroboh bersenjata di negeri berkenaan.

Sambil menegaskan beliau tidak perlu berbuat demikian kerana tidak terbabit dengan isu tersebut, Anwar bagaimanapun memberitahu bahawa perkara berkaitan dakwaan itu sedang diuruskan peguamnya.

Ketika diberitahu bahawa media di Filipina menerusi laporan mereka mengaitkannya dengan insiden itu, Anwar bagaimanapun berkata: "Terdapat banyak media di Filipina. Mana satu yang anda maksudkan?"

Anwar berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas bagi mengulas menangani pencerobohan bersenjata di Sabah.

Sementara itu, apabila diberitahu bahawa dakwaan mengenainya disiarkan akhbar harian terkenal Filipina, Philippines Daily Inquirer, Anwar berkata, beliau sudah membaca laporan berkenaan, namun menyatakan bahawa namanya tidak disebut sebagai pihak yang dikaitkan.

"Jika anda bangkitkan isu pencerobohan ini lagi, saya akan dakwa anda," katanya kepada seorang wartawan portal berita yang mengajukan soalan berkenaan.

Menerusi laporan Philippines Daily Inquirer, pada Jumaat lalu menyatakan bahawa sumber risikan negara itu mengaitkan seorang ahli politik Sabah yang bersekutu dengan pemimpin pembangkang Malaysia sebagai antara 'faktor luaran' yang didakwa bertanggungjawab menghasut waris kesultanan Sulu untuk menuntut Sabah.

Laporan wartawan Philippines Daily Inquirer,, Nikko Dizon berkata, Manila sedang memantau tiga kumpulan yang digambarkan sebagai 'faktor luaran' di sebalik krisis pencerobohan di Malaysia.

Malah baru-baru ini agensi berita Reuters menerusi laporannya juga mengaitkan penglibatan pembangkang dalam pencerobohan Lahad Datu.

Selain itu Anwar turut menyalahkan Umno yang didakwa cuba memutar belit berita berkenaan sambil menyatakan bahawa beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Philippines Daily Inquirer,.

Umno Tuntut Tian Chua Minta Maaf
 
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Sabah.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi notis tuntutan yang dihantar melalui Penasihat Undang-undang Umno, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Ahli Parlimen Batu itu turut diminta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat.

"Segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Umno.

"Ia juga turut bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik," katanya pada Isnin.

Tindakan undang-undang itu dibuat terhadap Tian berikutan kenyataannya dalam KeadilanDaily.com pada 1 Mac lalu yang bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian'.

"Notis dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini, 4 Mac untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu ini atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

"UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklum balas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit, maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.

"Oleh itu, Umno akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap Tian Chua tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini," katanya.

Tiada ulasan: