Ahad, 31 Mac 2013

Lahad Datu: Lelaki Bergelar Datuk Seri Dicari Bantu Kes Op Daulat

Hamza menunjukkan gambar lelaki yang bergelar "Datuk Seri" pada sidang media di Felda Sahabat pada Ahad
LAHAD DATU: Polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, Muhammad Ridzwan Sulaiman,dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata, Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak terlibat dengan pengganas, tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan Operasi Daulat.

"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.

Sementara itu, Hamza berkata, 180 penduduk yang menghuni pusat penempatan telah dibenar pulang ke rumah masing-masing iaitu 101 orang dari Kampung Tanjung Labian dan masing-masing 25 dan 54 orang dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah.

Beliau berkata, tiada pertempuran berlaku sepanjang 24 jam yang lepas dan operasi penggeledahan serta pembersihan masih dijalankan di kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.

Berhubung keselamatan di laut, Hamza berkata, selain melakukan penggeledahan dan pembersihan kawasan pertempuran, kawalan di kawasan perairan dilakukan setiap masa membabitkan pasukan polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - BERNAMA

Jins Shamsudin lupa, SM Salim menangis

WAKIL Yayasan Artis 1 Malaysia melawat dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni ini.
Tatkala umur sudah mencecah angka emas, ingatan adalah segala-galanya. Bukan wang ringgit yang mereka cari, sebaliknya perhatian sebagai tanda ingatan.

Itu yang ketara kelihatan di wajah dua Tan Sri yang sudah menabur jasa dan keringat dalam dunia seni masing-masing. Tan Sri Jins Shamsudin ialah anak kelahiran Perak yang sebati dalam dunia lakonan.

Begitu juga dengan Tan Sri SM Salim yang sehingga kini menjadi penghibur jiwa dengan suaranya yang tersendiri. Kini mereka sedang meniti hari tua bersama keluarga dengan keadaan kesihatan yang seiring usia.
Jins hilang memori

Jins masih berdiri tegap manakala pakaiannya kemas melekat pada tubuhnya. Berkemeja dan berseluar panjang, lelaki yang berumur 78 tahun itu tersenyum tatkala disapa tetamu yang hadir ke rumah.

Dahulu, riuh rumah Jins dengan suaranya mengalu-alukan kedatangan tetamu namun kini hanya tetamu menyapa namanya. Tiada balasan selain senyuman dan jemputan masuk. Dia jelas sudah hilang memori terhadap nama-nama yang pernah rapat dengan dirinya.

Mewakili Yayasan 1 Malaysia, nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk DJ Dave, Datuk M. Daud Kilau, Nancie Foo dan Nash, mereka meluangkan waktu bertemu dengan seseorang yang sesuai digelar guru.

Mereka juga menjadi wakil bagi menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni yang mereka hormati sejajar dengan penubuhan Yayasan itu sejak 11 November 2012.

Walaupun nama para tetamunya sudah luput daripada ingatan Jins, mereka tetap bergurau seperti biasa dan mendengar kata-kata yang hanya sekali sekala keluar daripada mulut aktor yang sinonim dengan watak ejen perisik Jefri Zain.
Selebihnya sang isteri, Puan Sri Halijah Abdullah, 54, kini menjadi suara Jins lantaran beliau diserang penyakit Alzheimer. Sekali sekala, anaknya, Hang Nadim menambah fakta sekiranya Jins yang terdiam, memandang dengan pandangan kosong.

"Dia tidak cam walaupun muka sendiri di kaca televisyen. Katanya nama orang yang di dalam televisyen itu lain dengan dirinya. Tempoh hari, Noorkumalasari datang pun dia tidak ingat sedangkan itu kegemaran dia," ujar Halijah tentang suaminya.

AIR MATA ini jatuh bukan kerana wang ringgit sebaliknya ingatan rakan-rakan seperjuangan membuatkan SM Salim terharu dan rasa dihargai
Disoal mengenai tahap kesihatan Jins, Halijah tersenyum sambil memanjat syukur. Penghulu keluarga mereka itu sedang diuji Allah. Cuma sebulan sekali, Jins dibawa ke Temerloh, Pahang untuk urutan di bahagian tangan.

"Aktivitinya pagi-pagi kami akan berjalan di sekitar kawasan rumah selama 15 minit. Bawa naik bukit dan kena cahaya matahari pagi. Kemudian dia akan tengok televisyen atau berbaring. Jins juga gemar membaca surat khabar dan akan mengambil masa sejam untuk membaca semua berita. Sekali sekala Nadim akan bawa dia menonton wayang. Dia tonton tapi dalam pandangan yang kosong," tambah Halijah.

Kesibukan dan terlampau fokus kepada kerja menjadi penyumbang kepada kehilangan memori Jins kepada peristiwa silam. Yang diingati adalah zaman Jalan Ampas dan Finas, selebihnya memorinya terendam bersama waktu berlalu.

"P. Ramlee itu guru saya," tiba-tiba Jins bersuara sekali gus membuat semua memandangnya. Dia kemudian menyambung renungan entah ke mana.

Jins pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School pada tahun 1970-1972 dan menerima diploma dengan kelas pertama.

Pada tahun 1999, dia menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.
Pada 24 Mac 2010 pula, Jins menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23.

"Begitulah dia, cakapnya memang sedikit dan memang sejak azali begitu. Dia tidak mahu bercakap kalau bukan hal yang mustahak. Dia lebih gemar membaca. Dulu kalau diajak bercuti pun dia enggan. Saya bersyukur dengan kesihatannya. Melihat pada satu sudut, walaupun diserang Alzheimer tetapi sekurang-kurangnya kami sudah dapat dia kembali. Dulu selalunya dia tiada di rumah," senyum Halijah sebelum tetamu beredar langkah.

Sedikit berbeza dengan Jins, SM Salim menyambut tetamunya dengan air mata. Air mata SM Salim jatuh tatkala sampul surat berserta cek sampai di tangannya.SM Salim tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas kunjungan rakan seperjuangannya tatkala dia kini berkerusi roda.

Tidak lama dia menyimpan emosi itu kerana tidak mahu semua yang hadir hanyut dalam tangisan. Dia tersenyum menyambung lawak jenaka. Ujar Datuk DJ Dave, SM Salim tidak pernah gagal membuat semua yang dekat dengan dirinya ketawa dan sikap itulah sebenarnya yang membuatkan penyanyi berusia 84 tahun itu terus sihat dan kelihatan segar.



WALAUPUN uzur, SM Salim tetap gemar membuatkan para tetamunya terhibur dengan jenakanya.



"Saya ni sihat-sihat orang tua. Tangan dan kaki susah sedikit nak digerakkan. Jadi kalau mahu makan, kena pakai sudu," kata Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros yang mencipta tapak dalam dunia seni sebagai penyampai radio.

"Saya sangat berbesar hati dengan rombongan ini. Saya fikir orang tidak ingat dan saya tidak sangka akan dapat duit banyak. Ingatkan semua dah tak peduli," katanya yang terharu dengan rombongan Yayasan Artis 1 Malaysia yang hadir ke rumahnya di Sering Ukay, Ampang, Kuala Lumpur.

Didampingi nama-nama yang sama-sama berjuang atas nama seni, SM Salim sempat meluahkan rasa. Keinginannya untuk menyanyi semula disuarakan.

"Saya sebenarnya gian mahu menyanyi. Magisnya bila menyanyi sahaja keadaan saya terus jadi baik. Aktiviti saya sekarang kalau duduk sendiri, saya akan pasang balik lagu-lagu saya dan dengar di mana salah saya menyanyi dalam rakaman tersebut," luahnya yang ketara kedengaran rindu dengan dunia nyanyian pentas dan rakaman.

Sudah darah anak seni, segala yang terjadi dalam cabang dunianya menjadi perhatian dan tatapan. Dari atas kerusi roda, SM Salim menjadi pemerhati. Ujarnya penuh ikhlas akan kekhilafan yang dilakukan penyanyi sekarang yang jelas di matanya.

"Penyanyi sekarang banyak nyanyi tidak betul. Lirik tidak kena dan begitu juga suara. Kalaulah bukan kerana cetak rompak dulu, sekarang kita sudah kaya raya. Filem pun sama juga pergerakannya," luah hati seorang biduan yang sudah berangkai ratusan lagu-lagunya dalam rakaman.

"Saya kalau menyanyi sambil duduk, nyanyian saya bagus. Tetapi kalau berdiri tidak bagus," jujurnya yang ketara memang mahu menyanyi dan menghibur semula.

Sebelum tetamu berundur pulang, dia memberi hadiah istimewa walau sekejap cuma. Bait-bait lagu Pasir Roboh dinyanyikan seketika. Sesekali dia berhenti sebelum menyambung nyanyian. Jelas dia rindu, serindu pencinta suaranya.

Sabtu, 30 Mac 2013

Korea Utara siap sedia serang AS

GAMBAR yang disiarkan Korean Central News Agency semalam menunjukkan Jong-un (duduk) berbincang dengan beberapa pemimpin tentera di sebuah bilik operasi ketenteraan di Pyongyang.
 
SEOUL - Media Korea semalam menyiarkan dua keping gambar yang menunjukkan rancangan negara itu untuk menyerang negara Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua gambar itu menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an duduk di tepi sebuah meja yang dipercayai di dalam sebuah bilik operasi ketenteraan.

Gambar-gambar itu dirakamkan oleh agensi berita Korean Central News Agency yang melaporkan satu mesyuarat diadakan melibatkan Jong-un dengan beberapa pemimpin tentera.

Jong-un mengarahkan roket-roket berada dalam keadaan bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas AS dan pangkalan-pangkalannya di rantau Pasifik.

Salah satu gambar itu menunjukkan terdapat peta yang menyatakan tajuk rancangan untuk menyerang negara AS.

Sementara itu, berpuluh-puluh ribu anggota tentera dan orang awam berhimpun di Pyongyang bagi memberi sokongan kemungkinan serangan ketenteraan dilancarkan ke atas AS.

Perhimpunan itu diadakan di Dataran Kim Il-sung yang dihadiri oleh askar-askar, bekas anggota tentera, pekerja dan pelajar yang memakai pakaian seragam tentera.

Bagaimanapun, pemimpin Jong-un tidak hadir pada perhimpunan itu.

Kelmarin, Tentera AS menghantar dua buah pesawat kalis radar B-2 Stealth yang boleh membawa senjata nuklear terbang di ruang udara Korea Selatan bagi menunjukkan kesediaannya untuk menghadapi sebarang serangan Korea Utara.

Korea Utara mengancam untuk menyerang AS dan Korea Selatan selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barangan mewah ke negara itu setelah rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.

Jong-un menjadi pemimpin Korea Utara selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu. - Agensi

Mengaku Islam, tidak tahu mengucap

SEMPORNA – Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.

Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.

“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.

“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.

“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.

Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.

Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.

“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.

Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.

Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.

Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.

Pengganas berpangkat panglima mati

LAHAD DATU - Seorang pengganas dipercayai berpangkat panglima ditembak mati ketika menyerang anggota pasukan keselamatan yang membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna, pagi semalam.

Difahamkan, pengganas lelaki berusia 60 tahun itu antara individu dikehendaki pasukan keselamatan berikutan peranannya sebagai pengawal merangkap pembantu seorang pengganas bergelar imam tua yang ditembak mati dalam pertempuran di kampung berkenaan pada 2 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, dua wanita masing-masing isteri dan anak pengganas terbabit berusia 45 dan 30 tahun turut ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sumber memberitahu BH, ketika kejadian, pasukan keselamatan menjalankan operasi bersepadu di Kampung Simunul dan Srijaya bagi mengesan saki baki pengganas yang dipercayai masih bersembunyi di perkampungan atas air berkenaan.

“Sebaik tiba di kampung itu, seorang anggota keselamatan mengetuk pintu sebuah rumah untuk pemeriksaan sebelum dibuka oleh seorang wanita yang memaklumkan dia tinggal sendirian di rumah itu.

“Anggota keselamatan terbabit kemudian memasuki rumah itu untuk pemeriksaan selepas mendapati wanita itu dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, sebaik masuk ke rumah, dia diserang dan ditetak dari arah belakang menggunakan barong.

“Sejurus selepas itu, anggota keselamatan menembak mati pengganas terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pengganas yang ditembak mati itu dipercayai berpindah randah sejak insiden mengorbankan enam pegawai dan anggota polis dalam insiden serang hendap di Kampung Simunul, 2 Mac lalu.

Beliau turut mengesahkan, anggota keselamatan diserang semalam tidak mengalami sebarang kecederaan kerana dilengkapi pakaian khas yang mempunyai ciri keselamatan.

“Dalam operasi pagi tadi (semalam), kita turut menahan empat lelaki atas beberapa kesalahan lain untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, jumlah tangkapan mengikut SOSMA meningkat kepada 141 orang, manakala 443 ditahan atas pelbagai kesalahan dengan musuh yang ditembak mati ialah 68.

Tun Mahathir yakin BN menang besar PRU13



ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat berkata Barisan Nasional (BN) akan mencapai keputusan baik pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), walaupun ia dilihat tidak kuat seperti yang diharapkan.

BN kini cuba pulih daripada 'tsunami' pilihan raya umum 2008 katanya sambil menambah bukan mudah untuk kembali setelah mengalami kekalahan banyak kerusi dan negeri pada pilihan raya umum lalu.

"Buat kali pertama, BN tidak sekuat sebagaimana sepatutnya. BN akan mencapai keputusan baik (dalam pilihan raya umum ke-13), namun persoalannya berapa banyakkah kerusi yang akan dimenangi mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhary di sini, Jumaat.

Katanya PRU 13 merupakan pilihan raya yang penting kerana pihak pembangkang telah melakukan usaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan.

"Pembangkang telah bersatu supaya mereka boleh mencabar BN ... tetapi mereka bersatu bukan sebagai gabungan tetapi, hanya 'pakatan'. Mereka juga tidak mempunyai satu pun simbol atau mempunyai agenda khusus. saya rasa rakyat akan dapat membuat pilihan yang baik," katanya.

Terdahulu dalam ucapanya, Dr Mahathir berkata rakyat perlu menilai kembali nikmat yang mereka kecapi ketika ini dan tidak terlalu termakan hasutan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, pada PRU 13.

Katanya tidak sepatutnya berlaku rakyat mahu menukar kerajaan pada ketika mereka menerima pelbagai faedah tetapi mengungkit apa yang mereka tidak peroleh.

"Kita suka cari kesalahan di sana sini. Ada orang tak hargai segala yang diterima. Ungkit konon negara tak bebas, kerajaan zalim...tekan rakyat, tak beri kebebasan, sedangkan kita terima macam-macam.

"Bukan ada sebab pun nak tukar kerajaan, nak tukar hanya atas sebab kebencian. Kena fikir baik-baik, utamakan orang yang berbakti, bukan kepada orang yang langsung tak boleh diterima. Kalau dia boleh jadi pemimpin buat apa tukar,"

Merujuk Kedah sekarang yang tidak mempunyai pemerintahan yang cekap, beliau berkata banyak pembangunan yang dinikmati Kedah adalah daripada kerajaan pusat dan orang yang mendapat kekayaan adalah kerana dasar kerajaan pusat.

"Kena tentukan siapa boleh siapa tak boleh (jadi kerajaan). Nak ada kerajaan yang berwibawa. Kalau tak, kita jadi mangsa. Janganlah mengundi kerana marah," katanya.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai hasrat kerajaan Filipina untuk kembali membuat tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka.

Beliau berkata itu hak Filipina untuk berbuat demikian tetapi untuk membawanya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak.

"Boleh bawa ke mahkamah hanya jika kita setuju sama. Kalau dia sendiri takkan diterima. Kalau nak rayu kepada UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu)mereka boleh buat tetapi sama ada UN nak sokong adalah perkara lain.

"Selain itu, sama ada kita akur kepada UN jika buat keputusan memihak kepada Filipina tiada undang-undang yang nak memaksa kita ikut UN jika rayuan dibuat satu pihak sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan yang besar untuk usaha membangunkan semula Pekan Rabu Alor Setar, yang merupakan satu lokasi ikonik bagi Kedah dan bandar raya ini.

"Saya merupakan peniaga di Pekan Rabu sebelum ini. Saya pernah menjual pisang goreng di Pekan Rabu. Ia keputusan yang baik untuk membaik pulih Pekan Rabu. Namun, setelah anda memulihkannya, ia harus dikekalkan," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan pusat akan membangunkan semula Pekan Rabu dengan peruntukan RM55.58 juta.

Ismail berkata, projek yang diletak di bawah kementeriannya itu akan melibatkan kerja meroboh bangunan lama dan diganti dengan bangunan baharu setinggi tujuh tingkat. - BERNAMA

Khamis, 28 Mac 2013

Lahad Datu: Militan Pengawal 'Imam Tua' Mati Ditembak Di Kampung Simunul

LAHAD DATU: Seorang anggota militan Sulu ditembak mati setelah lelaki itu menyerang seorang anggota keselamatan dengan barong (sejenis parang) ketika pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Simunul, Semporna, Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, anggota keselamatan itu ditetak lelaki berumur 60-an terbabit di depan dan belakang badannya ketika pasukan keselamatan menjalankan operasi bersepadu dan penggeledahan di kampung berkenaan pada 8.40 pagi.

"Walaupun ditetak, anggota pasukan keselamatan berjaya melepaskan tembakan. Tiada kecederaan serius dialami anggota kita.

"Siasatan mendapati lelaki itu adalah pengawal dan pembantu kepada seorang penceroboh militan Sulu yang dikenali sebagai 'Imam Tua'," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini Khamis.

'Imam Tua' adalah antara pengganas yang mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di perkampungan atas air itu pada 2 Mac lalu yang turut mengorbankan enam anggota polis.

Hamza berkata, hasil pemeriksaan di rumah itu, pasukan keselamatan menahan dua wanita berusia 45 dan 30 tahun yang merupakan isteri dan anak perempuan penceroboh militan yang ditembak mati itu.

"Kedua-dua wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)," katanya.

Beliau berkata, turut ditahan dalam operasi itu ialah empat lelaki. Kesemua mereka ditahan mengikut akta-akta lain.

Hamza berkata, sehingga kini pasukan keselamatan menembak mati 68 musuh, manakala 121 individu ditahan untuk siasatan di bawah Sosma dan 443 ditangkap mengikut akta-akta lain.

Sementara itu, Hamza berkata, ketua kampung dan ketua-ketua keluarga Kampung Tanjung Batu akan dibawa masuk bersama kumpulan penilaian terdiri daripada pegawai daerah dan Majlis Keselamatan Negara ke kampung itu esok bagi membuat taksiran kerosakan harta benda sebelum penduduk yang mempunyai dokumen dibenar pulang Sabtu ini.

"Bagi yang tiada dokumen, mereka akan diletakkan di satu kawasan sementara," katanya. - BERNAMA

Tarikh Akhir Pembubaran Parlimen 30 April - SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. - BERNAMA

PRU13: Mengapa Tarikh Angkat Sumpah Setiap Negeri Berbeza

PETALING JAYA: Kali pertama menjadi kerajaan negeri, penyingkiran calon Menteri Besar merupakan antara sebab mengapa Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai tarikh angkat sumpah berbeza bagi wakil rakyatnya.

Di Negeri Sembilan, terdapat desakan bagi memastikan majlis angkat sumpah dibuat dengan cepat pada 28 Mac kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya mencatatkan majoriti tipis.

Sebaliknya di Pahang, BN mencatatkan kemenangan besar dan tidak banyak perubahan di kalangan barisan exco kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah pada 7 April, kira-kira sebulan selepas pilihan raya diadakan pada 8 Mac.

Di Johor juga satu kejadian pelik berlaku, apabila Adun mengangkat sumpah bukan di hadapan Sultan dan sidang pertama DUN.

Namun tidak ada desakan untuk majlis akan sumpah diadakan, dan ia diselesaikan pada 21 April.

Pakatan Rakyat merupakan kerajaan negeri kali pertama bagi Selangor, walaupun mereka menang di negeri itu, mereka tidak dapat mencari calon bagi jawatan Menteri Besar.

Ia menjadi keadaan sedikit kecoh apabila pihak Istana dikatakan tidak merestui senarai awal calon Menteri Besar dan menyebabkan tarikh angkat sumpah hanya berlangsung pada 22 April.

Perak turut berhadapan dengan situasi yang sama, di mana DAP merupakan parti yang memenangi kerusi paling banyak.

Parti itu cuba meletakkan calon mereka sebagai Menteri Besar namun sekali lagi, Sultan campurtangan dan menitahkan hanya orang Islam boleh menjadi Menteri Besar.

Akhirnya, Pakatan Rakyat memilih calon PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, kedua-dua parti DAP dan PKR tidak selesa calon PAS menjadi Menteri Besar Pakatan kerana mereka menang atas dasar undi bukan Melayu.

Bagaimanapin Nizar berjaya meredakan kebimbangan itu dan membuktikan kemampuannya kepada rakyat Perak.

Ini juga dikatakan sebagai petanda DAP akan meletakkan calon Melayu di Perak pada pilihan raya umum kali ini.

Adun Melaka mengangkat sumpah pada 26 April, tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun di Perlis, situasinya berbeza, BN mempunyai calon mereka sebagai Menteri Besar namun pihak Istana memikirkan calon lain, ia menyebabkan tempoh seminggu untuk berunding mengenai isu berkenaan.

Di Perlis, 90 peratus kerusi dikuasai BN, oleh itu ia mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan isu pemilihan menteri besar. Penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim digugurkan dan digantikan dengan Datuk Dr Md Isa Sabu. Majlis angkat sumpah diadakan pada 28 April.

Di Kelantan, penyandang jawatan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengambil sedikit masa menyebabkan majlis angkat sumpah hanya berlangsung pada 28 April.

Di Sabah, kerajaan negeri pimpinan BN yang terdiri daripada beberapa parti komponen menyebabkan banyak rundingan dijalankan bagi pembahagian kerusi. Adun hanya mengangkat sumpah pada 29 April.
Sementara majlis angkat sumpah Pulau Pinang berlangsung pada 2 Mei.

Di Kedah, PR turut berhadapan dengan masalah kerana tidak mempunyai calon bukan Melayu. Satu-satunya calon Bebas diajak menyertai DAP dan akhirnya majlis angkat sumpah diadakan pada 6 Mei.

Bagi Terengganu, pengguguran Datuk Seri Idris Jusoh sebagai calon Menteri Besar menimbulkan banyak kontroversi kerana pihak istana memilih Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan berkenaan.

Majlis akan sumpah Adun hanya berlangsung pada 6 Mei, sekaligus menjadikan Terengganu sebagai negeri terakhir berbuat demikian.

Sarawak tidak berhadapan dengan situasi berkenaan kerana pilihan raya negeri diadakan pada 2011, dengan sidang DUN pertama diadakan pada 20 Jun tahun yang sama.

PRU13: PM Adakan Pertemuan Dengan Pemimpin Komponen BN

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Khamis dan ada pihak yang mengatakan ia merupakan perbincangan terakhir sebelum pembubaran Parlimen.

Pegawainya mengesahkan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi BN di pejabatnya di Putrajaya bagi memuktamadkan pembahagian kerusi pilihan raya.

Mereka juga akan berbincang mengenai senarai akhir calon yang akan bertanding menggunakan simbol BN.

"Beliau juga akan berbincang siapa yang akan mengambil kerusi apa dan semua perkara akan dimuktamadkan (hari ini)," kata salah seorang daripada mereka.

Sumber berkenaan turut mengesahkan Najib akan tiba di Kuala Lumpur selepas menghabiskan beberapa hari di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2013 (LIMA2013) pada Selasa dan beliau akan terus menghadiri beberapa mesyuarat bersama beberapa pimpinan Umno.

Ada juga spekulasi mengatakan telah bertemu dengan pemimpin di peringkat bahagian yang 'bermasalah' di pejabatnya di Putrajaya selepas mesyuarat Kabinet.

Sumber berkenaan turut memberi bayangan bahawa ramai pemimpin veteran BN akan digugurkan.

"Akan ada ramai muka baru kali ini," katanya.

Parlimen terbubar secara automatik pada tengah malam 28 April bagi mengadakan pilihan raya umum diumumkan.

Dewan Undangan Negeri Sembilan sudah pun terbubar pada Rabu.

Selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu, semua urusan perniagaan berjalan seperti biasa.

Beberapa sumber daripada Kabinet memaklumkan bahawa tiada gambar kenangan beramai-ramai diambil, yang merupakan tradisi era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum Parlimen dibubarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pembubaran Parlimen dan DUN Negeri Sembilan tidak dibincangkan.

Beliau berkata Kabinet menumpukan kepada perbincangan mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan dan keputusan Program Transformasi Kerajaan, dan Najib tidak menunjukkan tanda-tanda bila beliau mahu mengadakan pilihan raya.

"Mesyuarat Kabinet (semalam) berjalan seperti biasa dan topik yang dibincangkan tidak ada yang luar biasa. Kami tidak langsung membincangkan mengenai pembubaran," katanya.

Pemergian Zainon Ahmad, Wartawan Sejati, Sukar Dicari Ganti

KUALA LUMPUR: Perginya seorang tokoh wartawan sejati, Zainon Ahmad atau lebih dikenali sebagai 'Pak Non' di kalangan rakan media semestinya sukar dicari ganti.

Sikapnya yang suka berjenaka, merendah diri serta tidak lokek berkongsi ilmu pemberitaan itu pastinya dirindui dan merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan negara.

Pada usia 70 tahun, Editor Perunding akhbar The Sun itu menyahut panggilan Ilahi hari ini, meninggalkan seorang balu Hasnah Abdullah, 65, empat anak dan 14 cucu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir akibat kanser hati pada 2.25 petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Baharu selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu Selasa.

Zainon, yang dilahirkan di Semeling, Lembah Bujang, Kedah pada 1942, merupakan seorang guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan 35 tahun lepas.

Beliau menyertai The New Straits Times tahun 1978 dan dinaikkan pangkat sebagai Penolong Editor Kumpulan akhbar itu pada 1997 sebelum menjadi Editor Perunding pada 2001.

Setahun kemudian, beliau menyertai akhbar The Sun sebagai Ketua Pengarang.

Rakan media menyifatkan beliau sebagai wartawan sejati hingga ke akhir hayatnya kerana pada usia itu, Pak Non masih komited melakukan kerja-kerja kewartawanan seperti menulis berita dan menemuramah sumber, serta sering ke Parlimen untuk membuat liputan.

"Pak Non seorang wartawan sejati, beliau tidak ada hendak fikir kerja lain jadi pegawai ke atau apa sahaja, itu yang menyebabkan beliau kekal jadi wartawan untuk tempoh yang lama," kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya kepada Bernama.

Beliau berkata Zainon merupakan pemerhati sosial yang cukup kritikal kerana arwah bukan sahaja melihat sesuatu isu berdasarkan fakta tersurat tetapi juga mampu menterjemah sisi tersirat dengan tepat.

Menerusi kolum 'What They Say' hasil nukilan Zainon dalam akhbar The Sun yang memaparkan penulisan berbentuk perbualan berkaitan isu semasa dan politik, Chamil berkata Allahyarham pandai berkomunikasi dengan khalayak pembacanya.

"Beliau melihat sesuatu isu yang orang lain terlepas pandang, beliau memahami pembacanya dan bertindak berani untuk melawan arus dalam mengemukakan hujah terhadap sesuatu isu," katanya.

Chamil, yang mengenali Zainon ketika berkhidmat di Utusan Malaysia pada tahun 1980-an, berkata Pak Non tidak pernah kering dengan cerita lucu yang sering dikongsi ketika mereka minum teh bersama.

"Dia seorang yang suka merendah diri, kami sering jumpa ketika ke tempat tugasan, kalau minum teh, banyak cerita lucu diceritakannya tentang bidang kewartawanan dan pengalamannya," katanya.

Ternyata semangat seorang guru tetap hadir dalam diri Pak Non walaupun sudah menjadi tokoh kewartawanan yang disegani apabila beliau disenangi peserta yang menghadiri setiap ceramah atau bengkel yang dikendalikannya.

"Beliau sering menjadi penceramah dalam kursus yang MPI anjurkan, beliau seorang penceramah yang bersahaja dan banyak menggunakan pengalamannya dalam mencurahkan ilmu kepada wartawan muda," kata Chamil.

Beliau berkata setiap kursus yang dikendali Zainon sering mendapat penilaian tinggi daripada peserta.
Zainon juga merupakan seorang daripada 'orang kuat' yang berusaha merealisasi pembentukan Majlis Media Malaysia, sebuah badan bagi mengawal selia industri media di negara ini.

Chamil, yang turut terlibat dengan cadangan pembentukan majlis itu, berkata Zainon memainkan peranan yang cukup instrumental dan begitu komited, malah beliau dilantik mengetuai jawatankuasa yang bertanggungjawab membentuk garis panduan, syor baharu serta langkah yang perlu dilakukan bagi mengenal pasti peranan yang bakal dimainkan majlis berkenaan.

"Kerja yang diusahakan Pak Non sudahpun diserahkan kepada pejabat Peguam Negara, hidup dan matinya adalah sebagai orang surat khabar, saya berharap agar bukan sahaja impian beliau malah impian semua pengamal media supaya majlis ini menjadi realiti kerana ia merupakan satu cara untuk media mengawal diri sendiri tanpa ada undang-undang," katanya.

Kegigihan Zainon turut diakui Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong, yang turut bersama-sama bertugas dengan beliau dalam pembentukan majlis itu.

"Pak Zainon sentiasa berjuang bermati-matian demi kebebasan media namun pada masa yang sama, beliau tetap mengekalkan kebijaksanaan serta sikap lucunya," katanya sambil menambah beliau sentiasa mengagumi hasil kerja Zainon kerana arwah merupakan seorang pakar ketika menceritakan sesuatu perkara.

"Kepakaran beliau bermain kata-kata mempunyai kesan yang mampu membawa seseorang agar menjiwai ceritanya," katanya.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Kumpulan The Star Datuk Seri Wong Chun Wai pula menyifatkan Zainon sebagai seorang yang berfikiran terbuka, warganegara Malaysia yang begitu setia dan sangat dihormati di kalangan pemberita.

"Kemahiran beliau dalam bahasa Inggeris dan kebolehan bertutur bahasa Tamil dan Tagalog menjadikan beliau antara wartawan awal Malaysia yang membuat liputan perang saudara di Mindanao suatu ketika dahulu, dan kini kita kehilangan seseorang yang boleh memberitahu apa yang sebenarnya berlaku di Lahad Datu," katanya.

Wong berkata secara peribadi, beliau akan merindui Zainon lebih-lebih lagi apabila mengenangkan arwah seperti tidak sabar-sabar untuk membuat liputan pilihan raya umum akan datang.

"Hari ini merupakan hari yang sangat menyedihkan bagi saya kerana beliau adalah seorang daripada manusia yang amat baik dalam hidup saya, saya tidak pernah tahu beliau menghidap kanser hati kerana beliau kelihatan sihat-sihat sahaja," katanya sambil menambah kali pertama beliau mengenali Zainon ialah pada 1990.

Sementara itu, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Mokhtar Hussain berkata Zainon tidak pernah menghampakan mana-mana pihak yang menjemput beliau untuk menyampaikan ceramah berkaitan kewartawanan.

"Beliau merupakan pemberita sejati, beliau patut menjadi 'role model' kepada wartawan muda di negara ini," katanya.

Zainon pernah memenangi Anugerah Personaliti Media pada 2010.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.

Beliau pernah belajar berkaitan pengurusan akhbar di Yayasan Thomson, London dan menjadi felo Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi Fletcher di Universiti Tuft, Boston, Amerika Syarikat. BERNAMA

Rabu, 27 Mac 2013

Jamalul Kiram berang anggota keluarganya ditangkap

MANILA – Jurucakap kepada pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III membidas tindakan keras pasukan keselamatan Malaysia terhadap anggota keluarganya di Sabah termasuk salah seorang bapa saudaranya bernama Janjan, lapor portal berita InterAksyon.com semalam.

Menurut jurucakap itu, Abraham Idjirani, seorang bapa saudara Jamalul Kiram, Janjan, 72, dibunuh sama ada kelmarin atau semalam.

Idjirani membuat dakwaan itu sehari selepas dia mengesahkan penangkapan Datu Amirbahar Hushin Kiram dan isterinya oleh pihak berkuasa Malaysia di Semporna pada Sabtu lalu.

Amirbahar merupakan anak Bantilan Esmail Kiram II yang merupakan adik kepada Jamalul Kiram.
Idjirani berkata, Janjan telah ditahan di Semporna pada minggu lepas.

Katanya, ketua gerombolan pengganas Sulu di Sabah, Azzimuddie Kiram memaklumkan mengenai nasib yang menimpa Janjan melalui perbualan telefon semalam.

“Dia (Janjan) telah ditahan dan dibunuh kerana dia saudara kepada Jamalul Kiram serta didakwa menjadi dalang ketegangan di Sabah.

“Namun, dia sebenarnya sudah menetap di Sabah sejak awal tahun 1990-an,” kata Idjirani.

Katanya, Amirbahar merupakan pemegang pasport Filipina. Kumpulan pengganas Sulu itu menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu. – Agensi
 
Datu Piah sembunyi di Semporna

SEMPORNA – Seorang lagi anggota kanan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah, Datu Piah, salah seorang daripada adik-beradik kepada Jamalul Kiram III kini dipercayai berada di daerah ini.

Menurut satu sumber, lelaki yang berusia lewat 60-an itu dipercayai sedang menyembunyikan diri kerana takut menerima nasib yang sama seperti Menteri Pertahanan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang ditangkap pasukan keselamatan pada Sabtu lalu.

“Datu Piah juga dipercayai salah seorang daripada orang kanan yang terlibat dalam proses rundingan dengan pasukan keselamatan sebelum 1 Mac lalu,” kata sumber tersebut di sini semalam.

Rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan pengganas terbabit yang diketuai Azzumuddie Kiram dan turut disertai Datu Piah itu bagaimanapun menemui jalan buntu.

Sumber itu berkata, sebagai ahli keluarga kepada Jamalul Kiram, dia juga dipercayai mempunyai peranan besar dalam kes pencerobohan di Lahad Datu.

“Sebelum 0ps Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu, Datu Piah dan Amirbahar dipercayai sempat melarikan diri ke Semporna dan cuba menggerakkan kumpulan pengganas di daerah ini dengan melakukan kekacauan,” kata sumber itu lagi.

Insp. Hasnal Yang 21 Jam Menahan Sakit Ditembak, Ditetak Pengganas Sulu!

PUTRAJAYA –  Inspektor Mohamad Hasnal Jamil menanggung kesakitan hampir 21 jam akibat ditembak dan tangan kanannya hampir putus ditetak berkali-kali oleh pengganas Sulu di Semporna awal Mac lalu, dan pada Selasa, beliau berkongsi cerita tanpa sedikit pun semangat juangnya luntur demi negara.

“Cuma sedikit terkilan dengan pandangan sesetengah pihak yang mengatakan peristiwa itu hanya sandiwara. Kami tidak minta dihargai cukuplah percaya apa yang kami lalui bukan perkara main-main.

“Kami berjuang demi bangsa dan negara. Kalau sesiapa yang mengatakan ia sandiwara, jika berani pergilah ke sana dan lihatlah sendiri,” katanya pada majlis penghargaan dan sumbangan perwira ‘Operasi Daulat’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.

Menurut Mohamad Hasnal, 31, beliau ditembak tiga kali mengena perut dan lengan kirinya, ditetak tiga kali di kepala dan tiga kali di tangan kanan semasa bertempur dengan musuh di Kampung Seri Jaya, Semunul, Semporna Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam, 2 Mac lepas.

“Selepas terkena tembakan itu, saya diserang pula oleh pengganas yang cuba menetak dengan parang, mujurlah saya dapat melawan kalau tidak mungkin menyebabkan leher saya putus.

“Dalam keadaan berlumuran darah saya terpaksa berlari menyelamatkan diri di sebuah rumah kecil di kawasan berhampiran tempat pertempuran,” katanya yang ketika itu merasakan detik kematian begitu hampir.

Beliau bersembunyi di rumah itu bersama sekujur tubuh rakannya yang terkorban bersama sembilan anggota yang lain. Hanya doa yang dapat diungkapkan di saat itu memohon perlindungan Allah.

“Rakan-rakan lain juga banyak memberi sokongan dan kata-kata perangsang untuk saya tabah dan kuatkan semangat, sementara menanti bantuan tiba, mereka membantu saya untuk minum, yang ada hanya air hujan,” katanya.

Malam dirasakan terlalu panjang baginya, ditambah pula tidak dapat melelapkan mata kerana badannya dihurungi lalat dan semut, sebab terlalu banyak darah yang keluar.

Dalam keadaan parah, beliau masih menyembunyikan perkara sebenar apabila dapat menghubungi isterinya pada keesokan pagi.

“Saya perlu tutup telefon sebab bimbang dapat dikesan pengganas, jadi saya cuma beritahu akan menghubungi isteri petangnya.

“Rakan-rakan hanya dapat menjenguk sekejap-sekejap kerana mereka perlu sentiasa berjaga mengawasi pergerakan musuh,” katanya.

Bantuan tiba kira-kira pukul 5.30 petang (3 Mac), dan wira negara itu diterbangkan ke Hospital Tawau untuk rawatan dan pembedahan.

Dua hari kemudian beliau sekali lagi menjalani pembedahan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pula.

Anak kelahiran, Felda Teloi Timur, Sik Kedah itu berkata, apa yang dialami tidak melemahkan semangatnya untuk terus menabur bakti, kerana baginya insiden ini antara cabaran dalam tugasan, dan tanggungjawabnya mempertahan kedaulatan negara.

Mohamad Hasnal hadir bersama balu dan waris yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada majlis itu.

Dua anggota polis terkorban di Lahad Datu pada 1 Mac dan enam di Semporna Sabah pada 2 Mac.
Beberapa orang lagi cedera dan seorang anggota tentera turut gugur dalam satu lagi pertempuran di Lahad Datu.

Seorang anggota tentera terbunuh dalam kemalangan mengikuti konvoi Operasi Daulat itu.

Suasana pilu turut dirasakan pada majlis itu, apabila syair bertajuk “Ayahku Seorang Perwira” hasil nukilan Setiausaha Akhbar Menteri KPDNKK Datuk Ruhaidini Abd Kadir, dilagukan oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin. - BERNAMA

Selasa, 26 Mac 2013

'Ketua perisik' Kiram diburu

LAHAD DATU - Pasukan keselamatan memburu seorang lagi pemimpin kanan kumpulan pengganas berjawatan ‘ketua perisik’ yang dipercayai masih bersembunyi di Semporna.

Suspek berusia 50-an itu adik kepada Jamalul Kiram III dikenali Datu Piah Datu Kiram serta dianggap antara orang paling kanan ketua pengganas, Agbimuddin Kiram.

Difahamkan, suspek mempunyai kedudukan setaraf dengan Komander Habib Musa A Abdullah atau Jeneral Haji Musa yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, pada awal Ops Daulat.

Sumber memberitahu BH, pasukan keselamatan yakin suspek yang menceroboh negeri ini bersama Agbimuddin serta Jeneral Haji Musa dan pengikut mereka sebelum mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu, masih bersembunyi di Semporna.

Katanya, suspek dipercayai antara individu yang menyertai kumpulan pengganas membuat rundingan dengan pasukan keselamatan Februari lalu, namun dia dilaporkan ‘hilang’ sebaik berlaku pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 1 Mac.

Awal pagi kelmarin, pasukan keselamatan menahan anak saudara Agbimuddin merangkap Pemerintah Tentera Sulu ketika bersembunyi dalam paya bersama isterinya di Kampung Sri Melor Bugaya, Semporna.

Suspek bertaraf Menteri Pertahanan itu dianggap individu terpenting mengatur serangan serta pergerakan pengganas ke beberapa lokasi sejak pencerobohan mereka.

 Selain itu, pasukan keselamatan menahan warga tempatan berusia 40-an dikenali Ali bersama isterinya di Kampung Tungku di sini, malam Jumaat lalu. Mereka dipercayai tali barut utama menyediakan keperluan pengganas sejak awal pendaratan mereka di Kampung Tanduo.

Difahamkan, Ali anak penduduk Kampung Tanduo, Ahmad Malandi atau Mat Bom yang ditahan pasukan keselamatan pada awal Ops Daulat kerana menjadi tali barut pengganas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan Pemerintah Tentera Sulu yang ditahan di Semporna adalah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Beliau berkata, suspek dan isterinya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Operasi mengesan saki baki pengganas giat dijalankan, namun kami percaya mereka sudah hilang arah. Maklumat penduduk penting bagi mengesan saki baki pengganas.

“Dengan ada kerjasama semua pihak, kita percaya saki baki pengganas ini dapat ditumpaskan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di sini, semalam.

Sementara itu, semakan BH di laman sosial Facebook menemui seorang pemegang akaun menggunakan nama Datu Amirbahar Hushin Kiram dari Jolo, Filipina, dipercayai individu sama dengan suspek yang ditahan pasukan keselamatan.

Berdasarkan maklumat pada akaun terbabit, dia sering memuat naik dan berkongsi laporan insiden pencerobohan Lahad Datu sejak pertengahan bulan lalu.

Lahad Datu: Polis Jejak Individu Kirim Wang Ke Pulau Jolo Bantu Pengganas

LAHAD DATU: Polis mengesan berlaku pengiriman wang ke Pulau Jolo, Filipina oleh beberapa individu dari Sandakan dan Semporna, Sabah bertujuan membiayai kumpulan pengganas di sana.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan keselamatan kini memantau rapi perbuatan individu itu yang mengkhianati negara dan tangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya.

Beliau berkata, perbuatan menghantar duit ke Pulau Jolo untuk membantu kumpulan pengganas adalah kesalahan yang amat berat dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.

"Jadi, saya nasihatkan mana-mana individu yang terlibat supaya segera menghentikan tindakan mereka kerana perbuatan itu adalah satu pengkhianatan kepada negara dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, di sini Selasa.

Tanpa menjelaskan bilangan individu yang terlibat dan amaun yang dihantar, Khalid berkata, nilai wang yang dihantar tidak penting kerana tindakan undang-undang tetap sama jika tujuannya membantu musuh negara.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata, seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan.

Beliau berkata, 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi Selasa bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata, keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.

"Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap," katanya. - BERNAMA

Tokoh Maal Hijrah 2005 meninggal

KUALA LUMPUR - Tokoh cendekiawan Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, kembali ke rahmatullah jam 7 malam tadi.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di sini.

Allahyarham yang juga Felo Amat Utama ISTAC dan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 (1426 Hijrah), meninggalkan seorang balu, Mariam Hussin, 65, serta 12 anak berumur 45 hingga 30 tahun.

Anak Allahyarham, Asma berkata, ayahnya meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan kerja ilmiah di bilik tidur.

Allahyarham ketika itu duduk di atas katil menguruskan kitab yang diambil, sebelum rebah. Pasukan paramedik kemudian mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, selepas solat Zuhur esok (hari ini) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM, katanya.

Beliau berkata, Allahyarham pernah mengalami masalah jantung tahun lalu, selain penyakit darah tinggi.

Allahyarham yang dilahirkan pada Februari 1943, berasal dari Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan, terkenal dengan sumbangannya menghasilkan banyak penulisan berkaitan ketamadunan Islam.

Allahyarham juga membentangkan kertas kerja dalam seminar pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah, di samping menterjemah buku dari bahasa Arab dan Inggeris.

Antara bahan ilmiah dihasil dan diterjemah Allahyarham ialah Al-Quranul-Karim; Fathul Mu'in; Peradaban dalam Islam; Memahami Islam; Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi serta Islam dan Kebudayaan.

Pembubaran DUN Negeri Sembilan Mungkin Seru Untuk PRU-13

SEREMBAN - Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sehingga tengah malam Rabu sekiranya beliau mahu menyeru pilihan raya umum ke-13 sebelum penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama tamat.

Sama ada beliau akan berusaha untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum itu adalah persoalan lain walaupun pemerhati percaya beliau akan berbuat demikian.

DUN Negeri Sembilan akan tamat secara automatik pada tengah malam Rabu akan menjadi perundangan yang pertama di negara ini melengkapkan tempoh penggalnya selepas pilihan raya umum 2008.

Seramai 36 ahli DUN (ADUN) mengangkat sumpah pada 27 Mac 2008, dan memulakan sesi pertama pada 25 April 2008.

Menurut Seksyen 56 (3) Undang-undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959, DUN itu kecuali ia dibubarkan terlebih dahulu, akan berterusan selama lima tahun dari hari pertama sesinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata: "Menurut Tafsiran Akta 1948 dan 1967, tempoh lima tahun tidak termasuk hari mengangkat sumpah. Jadi, jika Perdana Menteri tidak membubarkan Dewan Rakyat terlebih dahulu, DUN Negeri Sembilan secara automatik akan dibubarkan pada tengah malam Rabu."

Selepas pembubaran itu, katanya, para Exco akan berfungsi sebagai kerajaan negeri sementara.

"Saya akan terus menjadi Menteri Besar dan bersama-sama dengan anggota Exco saya, kita akan melihat pengendalian kerajaan negeri dari hari ke hari," kata Mohamad pada Isnin.

Bagaimanapun, ADUN tidak lagi menjadi Yang Berhormat.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sementara tidak akan memperkenalkan dasar-dasar baru atau perundangan.

Beliau berkata, tidak ada keperluan untuk mendapatkan persetujuan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz mengenai pembubaran itu kerana lima tahun tempoh telah tamat.

Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan lima daripada lapan kerusi Parlimen.

VAT 69 Bravo Selamatkan Lebih Ramai Anggota Lain Daripada Terkorban

KUALA LUMPUR - 'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan anggota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.

Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata, terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata, pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

"Kami (Bravo) enggan berganjak, sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripada Komander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang sebelum itu memberi amaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah melepaskan tembakan kerana kami tidak mahu berundur," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata serta melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter," katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polis iaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan keselamatan menembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata, dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpaya itu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupun ditembak bertubi-tubi.

"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telah ditembak berkali-kali, tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagian kepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diatur gerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo berkata, beliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kira dua meter.

"Saya masuk Kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo," kata anak bekas komando itu.

Beliau berkata, pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapa sawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi lebih luas dan ia mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketika itu.

"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesan tembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidak mengenai saya," katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya berkata, beliau bangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara.-BERNAMA

Tokoh Ilmuwan Islam Dr Muhammad Uthman Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC, Taman Duta di sini petang Isnin.

Dr Muhammad Uthman yang dilahirkan pada 9 Feb 1943 di Kelantan adalah tokoh yang tidak asing khususnya dalam dunia intelektual Islam dan telah menghasilkan ratusan penulisan berkenaan Islam dari segi akidah, akhlak, budaya dan falsafah.

Allahyarham memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat ijazah dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1966 sebelum menjadi tutor pada tahun 1969.

Sebelum kembali ke Kelantan, Allahyarham mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM sehingga tahun 1973.
Pada tahun 1995, Allahyarham dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM).


Isnin, 25 Mac 2013

Lebih Ramai Akan Didakwa Berhubung Pencerobohan Pengganas Sulu Di Lahad Datu - Peguam Negara

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan lebih ramai akan didakwa berkaitan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah suspek terbabit atas alasan keselamatan.

"Sudah tentu ada lagi yang akan didakwa," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini, sambil menambah siasatan berhubung kes itu harus dijalankan secara ketat dan teliti kerana pihak berkuasa tidak mahu melakukan pendakwaan terhadap mereka yang tidak bersalah.

Mengulas penahanan komander kumpulan pengganas Sulu, Datu Amir Bahar HushinKiram di Semporna pada Sabtu, Abdul Gani berkata, Jabatan Peguam Negara akan meneliti perkara itu.

Beliau juga berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi pemimpin kumpulan bersenjata pengganas Sulu itu, Jamalul Kiram kepada kerajaan Filipina.

"Ya, saya akan mengemukakan permohonan ekstradisi... Sudah tentu kami akan memburu dia... terutama bagi kesalahan dalam kes seperti ini," katanya ketika disoal sama ada kerajaan akan mengemuka permohonan itu terhadap Jamalul Kiram yang memegang kewarganegaraan Malaysia.

Abdul Gani juga berkata, lapan suspek yang didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas, bukan rakyat Malaysia.

Mengulas dakwaan beberapa nama dalam kertas pertuduhan sebenarnya milik individu yang sudah mati, Abdul Gani berkata, jika perkara itu benar, "sudah tentu tertuduh tidak akan menyahut ketika namanya dipanggil semasa mahkamah bersidang."

"Sebagai contoh, seorang tertuduh yang bernama Hooland, saya boleh ingat namanya kerana ia agak pelik, dikatakan sudah meninggal dunia, namun dia menyahut ketika mahkamah memanggil nama itu," katanya.

Abdul Gani berkata, beliau juga memohon agar mahkamah tidak merekod pengakuan tertuduh kerana beliau akan mendapatkan nasihat daripada Kedutaan Filipina berhubung bantuan perundangan.

Katanya, beliau juga sudah menghubungi Persatuan Undang-Undang Sabah dan Majlis Peguam dalam usaha menyediakan bantuan perundangan kepada tertuduh.

"Jika kita ada muslihat, kita boleh ambil sahaja pengakuan mereka. Malah, ketika prosiding mahkamah, seorang daripada mereka berkata, dia diupah untuk melakukan perkara itu. Kenyataan itu boleh diambil sebagai pengakuan bersalah dan dia boleh dihukum penjara, namun saya enggan menerima pengakuan itu," katanya.

Peguam Negara berkata, pendakwaan ingin berlaku adil ketika melaksanakan tugasan mereka.

Meskipun di pihak pendakwaan, Abdul Gani berkata, beliau percaya hak tertuduh sebagai seorang individu harus dipelihara.

Menyentuh sama ada peguam dari Majlis Peguam Malaya boleh mewakili tertuduh, Abdul Gani berkata, mereka boleh memberi bantuan serta nasihat perundangan, selain mendapatkan kemasukan secara ad-hoc ke majlis itu untuk kes tertentu.

Beliau berkata, bilangan peguam dari Persatuan Undang-Undang Sabah yang mengendali kes jenayah adalah terhad.

"Jadi, saya meminta bantuan Majlis Peguam dan mereka (Majlis Peguam dan Persatuan Undang-Undang Sabah) sudah berbincang berkaitan perkara ini," katanya. -BERNAMA

PRU-13: DUN Negeri Sembilan Bubar Secara Automatik Pada Rabu – MB

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada tengah malam Rabu selepas tempoh penggal lima tahunnya berakhir, menjadikan ia yang pertama di negara ini dibubarkan secara automatik selepas pilihan raya umum 2008.
Seramai 36 anggota DUN (ADUN) mengangkat sumpah pada 27 Mac, 2008 dan memulakan sesi pada 25 April, 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas pembubaran itu, exco negerinya akan meneruskan tugas sebagai penjaga kerajaan negeri, seperti yang disediakan dalam perlembagaan negeri.

“Saya akan terus kekal sebagai Menteri Besar, dan bersama saya adalah para exco, yang akan mengendalikan kerajaan dari hari ke hari.

“Perlu ada penjaga kerajaan kerana kita perlu membayar gaji dan melihat beberapa perkara sepanjang tempoh itu... tanpa penjaga kerajaan, akan adanya anarki,” kata Mohamad kepada para pemberita selepas menyampaikan zakat dan pembiayaan pengajian kepada pelajar yang menyambung pengajian tinggi di Timur Tengah pada Isnin

Hasan Ali Yakin Ulama Pondok Buat Kajian Sebelum Putus Undi Pas Haram

MUAR – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali yakin kumpulan ulama muda dan pondok di Kelantan telah membuat kajian sebelum memutuskan mengundi Pas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) adalah haram.

Beliau percaya mereka membuat keputusan itu setelah merujuk kepada kitab-kitab dan menghubungi ulama-ulama besar termasuk dari luar negara.

“Selain itu, mereka juga (mungkin) telah menilai apa yang dilakukan pimpinan Pas sekarang jauh menyimpang berbanding semasa (di bawah pimpinan) Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Yusuf Rawa serta Ustaz Fadzil Noor.

“Kalau mereka berada pada zaman itu, saya percaya ulama-ulama pondok dan ulama muda ini tidak akan membuat kenyataan seperti itu,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis anjuran Gerakan Belia 4B kawasan Parlimen Ledang di Dataran Stulang, Tanjung Agas di sini.

Beliau mendakwa Pas kini terlalu tunduk pada tekanan DAP dan menjadi alat kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan hasrat beliau untuk menjadi perdana menteri.

“Ini menyebabkan Pas bukan lagi meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka, jadi lebih eloklah orang Melayu dan umat Islam memastikan mereka tidak memberi undi kepada pembangkang pada PRU-13 nanti,” katanya.

Dalam ceramahnya itu  beliau turut menggesa orang Melayu dan umat Islam di Johor supaya tidak memberi ruang kepada pembangkang untuk memenangi sebarang kerusi di kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali ini.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor itu yang dipecat kerana ketegasannya menangani isu murtad itu berkata, umat Islam Malaysia akan berhadapan dengan masalah jika membenarkan pembangkang berkuasa.

“Ini kerana pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim memperjuangkan Islam liberal. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mempertahankan kerajaan sedia ada bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi negara selama ini. – Bernama

Menteri Besar Seumur Hidup Sedia Tanding Sampai Mati

KOTA BHARU - Menteri Besar Seumur Hidup, Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau bukan sahaja akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, sebaliknya terus bertanding sampai bila-bila waima terpaksa menggunakan kerusi roda sekali pun.

Menteri Besar Suka Tidur itu berkata, beliau hanya akan berundur daripada politik sekiranya Pas tidak memerlukannya lagi, manakala bagi pilihan raya umum ini, Pas Pusat telah membuat keputusan supaya beliau wajib bertanding.

“Saya sebut dah kalau parti suruh bertanding, saya bertanding walaupun saya berkerusi roda, saya bertanding, kalau parti kata cukup, cukuplah.

Sekarang ini sudah ada keputusan daripada pejabat agung dua tiga bulan lepas lagi, Nik Aziz wajib bertanding, Setiausaha Agung Pas (Datuk Mustafa Ali) sudah sebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang kini berumur 82 tahun telah memegang jawatan sebagai Menteri Besar selama 22 tahun manakala di peringkat Pas Pusat, beliau menjadi Mursyidul Am Pas sejak tahun 1987.

Pada pilihan raya umum 2008, Nik Abdul Aziz yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Nik Zain Omar dengan majoriti 4,249.

Keadaan kesihatannya yang semakin uzur dan kerap dimasukkan ke hospital menyebabkan banyak pihak mengkritik dan meminta beliau berundur daripada terus terlibat dalam arena politik, namun Nik Aziz tidak pernah mempedulikan kritikan itu.

Beliau sebelum ini pernah menyatakan akan bersara daripada politik jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut melakukannya, namun setelah Dr. Mahathir berbuat demikian sejak 10 tahun lalu, Nik Abdul Aziz masih kekal di tampuk kepemimpinannya

Sementara itu, mengulas tentang persiapan Pas Kelantan untuk menghadapi pilihan raya umum, Nik Abdul Aziz berkata, 90 peratus daripada calon yang akan bertanding telah disiapkan.

Daim gesa rakyat beri mandat kepada Najib

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan tugasnya dengan begitu baik dan patut diberikan mandat untuk menerajui negara dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau.
Menggesa pengundi agar memberi peluang kepada Najib untuk lima tahun lagi, veteran UMNO itu berkata: “Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau telah melakukan tugasnya dengan begitu baik. Biar beliau melaksanakannya dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau."

Dalam wawancara dengan New Sunday Times, Daim menyatakan yang beliau lebih suka sekiranya Najib menang berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau sifatkan sebagai bukan calon yang tepat untuk menjadi Perdana Menteri.

“Jika anda tanya saya, antara kedua-duanya, Najib atau Anwar, saya akan pilih Najib. Saya akan beri Najib peluang. Beri beliau mandat dan lihat sama ada beliau dapat melakukannya kerana Anwar telah pernah diberi peluang itu, tetapi beliau mensia-siakannya.

Saya mahu Najib menang kerana saya berpendapat Anwar bukan calon yang tepat untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Saya percaya beliau akan kucar-kacirkan negara dengan mendapatkan nasihat daripada pihak seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), Bank Dunia dan Wolfowitz (Paul Wolfowitz, bekas Presiden Bank Dunia)," katanya.

Daim yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1998 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, berkata, adalah bahaya jika pembangkang di bawah pimpinan Anwar menerajui negara.

Saya bimbang kerana beliau tidak arif mengenai ekonomi, sentiasa perlukan orang lain untuk beritahu beliau apa yang perlu difikirkan dan apa yang perlu dilakukan," katanya.

Setakat ini, katanya, tidak ada satu pun idea signifikan datang daripada Anwar selaku Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor. Lebih teruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air, yang telah mengecewakan kalangan pemaju perumahan, pelabur dan rakyat.

Kenapa beliau (Anwar) tidak menjadi Penasihat Ekonomi Kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan percaya beliau bagus? Fikirkannya secara serius. Fikirkan masa depan kita," katanya.

Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi Perdana Menteri akan datang, Daim berkata: “Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia."

Daim berkata, beliau akan menyokong Najib, tetapi Perdana Menteri perlu berusaha memerangi rasuah dan jenayah, memperkukuhkan keselamatan negara dan menyemak semula sistem pendidikan.

Beliau berkata, Najib juga perlu merombak Kabinet. “Bawa masuk muka-muka baharu. Rakyat berpendapat beliau mengekalkan terlalu banyak “orang lama" dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi “tarikh luput," katanya.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, Daim, yang ramalannya sering menjadi perhatian berkata, BN boleh menang, tetapi perlu ada perpaduan dalam kalangan parti gabungan.

“UMNO mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA kira-kira satu juta dan MIC kira-kira 600,000. Itu sahaja sudah kira-kira separuh daripada pengundi.

Kini, anda hanya perlu mendapatkan sokongan daripada golongan atas pagar, dengan itu anda mampu menang. Tetapi BN perlu letakkan calon-calon terdiri muka baharu dan bersih yang diterima oleh pengundi," katanya.

Daim berkata, sekiranya BN tidak bersatu, kedudukan pakatan pembangkang akan menjadi lebih baik seperti mana yang berlaku pada 2008.

Kekal bersatu, setia dan jangan sabotaj. Kita perlukan ‘tangan’ yang mantap dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman itu, kata Tun Daim. - BERNAMA