Isnin, 4 Mac 2013

6 polis gugur, 6 penceroboh maut

Serang hendap di Semporna: 19 anggota PDRM terperangkap dikeluarkan

Lahad Datu: Enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai Tentera Sultan Sulu, ketika operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, malam kelmarin.

Operasi yang diselesaikan hampir 24 jam itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya enam anggota kumpulan bersenjata terbunuh, manakala seorang lagi maut dibelasah penduduk kampung.

Polis juga berjaya mengeluarkan 19 anggotanya yang terperangkap di kawasan perkampungan atas air itu. Seorang penduduk wanita berusia 50 tahun dilaporkan cedera dipercayai terkena tembakan rambang kumpulan bersenjata dan dirawat di Hospital Tawau.

Korban meningkat

Setakat petang semalam, seorang pegawai polis yang disahkan terkorban ialah pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, Superintendan Ibrahim Lebar, 52, dari Besut, Terengganu.

Sehingga kini, jumlah anggota keselamatan yang terkorban meningkat kepada lapan orang selepas dua komando VAT 69 mati ditembak penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, dekat sini Jumaat lalu.
PDRM ucap takziah

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam sidang medianya petang semalam, berkata operasi berakhir jam 7 petang dan polis menghubungi keluarga mangsa yang terkorban untuk memaklumkan perkara itu terlebih dulu sebelum mengumumkannya kepada orang awam dan media.

“Saya mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban,” katanya.

Katanya, enam mayat yang belum dikenal pasti, dipercayai anggota kumpulan musuh.

Ismail berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis ke Simunul bagi menjalankan siasatan susulan maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ.

Sementara itu, tindakan seorang ahli kumpulan penceroboh Sultan Sulu yang menjadikan 80 penduduk kampung di Kampung Sinalang Lama, Semporna dekat sini, sebagai tebusan berakhir apabila dia dibelasah sebelum dibunuh oleh 20 pemuda kampung berkenaan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pengganas terbabit yang merupakan seorang warga emas berusia 60-an dikatakan cuba mengarahkan semua tebusan berjalan ke sebuah masjid sebelum dia diserang penduduk.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki tersebut merupakan salah seorang daripada kumpulan bersenjata yang berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di Kampung Simunul dekat sini sehingga mengorbankan lima anggota polis.

Katanya, lelaki itu berjaya menyelinap keluar dari Kampung Simunul melalui kawasan pantai sebelum memasuki kawasan Kampung Sinalang Lama dan menawan 80 penduduk kampung di situ.

Jarak Kampung Simunul dengan Kampung Sinalang Lama adalah tujuh kilometer.

"Lelaki berbangsa Suluk yang lengkap bersenjata M16 dan pelancar bom itu telah bertindak mengetuk pintu rumah penduduk kampung sebelum mengarahkan mereka berkumpul.

"Selepas itu, dia mengarahkan kesemua 80 penduduk kampung menuju ke sebuah masjid," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hamza menambah, ketika dalam perjalanan ke masjid itu, seramai 20 pemuda daripada kumpulan penduduk itu bertindak menangkap sebelum memukul dan membunuh pengganas tersebut.

"Dari segi undang-undang, perbuatan penduduk kampung itu mungkin kasar, tetapi mereka merupakan tebusan dan berhak mempertahankan nyawa," ujarnya.

Sementara itu, Hamza berkata, polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik terhadap kumpulan penceroboh yang masih enggan menyerah diri.

"Setakat ini, tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan di Kampung Tanduo, Lahad Datu. Dua daripada mereka ditahan semalam (kelmarin) dan seorang lagi ditahan pagi ini (semalam)," katanya.

Tiada ulasan: