Isnin, 4 Mac 2013

Versi Asal Usul Kesultanan Sulu

MENJAWAB PERSOALAN BAHAWA SABAH ADALAH SEKADAR PAJAKAN :

Selamat sejahtera. Kalau kita imbas balik ke tahun 1704, Sultan Brunei pernah menghadiahkan Sabah kepada Sultan Sulu di atas bantuan baginda menentang kumpulan pemberontak Brunei.

Seterusnya pada 22 Januari 1878, Sultan Sulu telah menandatangani perjanjian dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent yang mewakili Syarikat Piagam Borneo British untuk menyerahkan `hak dan kuasa' untuk tempoh selama-lamanya sebagai balasan penerimaan bayaran pampasan sebanyak $5,000 setahun. Jumlah ini kemudiannya dinaikkan kepada $5,300 setahun apabila Sultan Sulu menambah luas kawasan wilayah Sabah di dalam perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1903.

Semenjak Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963, jumlah ini masih dibayar oleh Kerajaan Malaysia sehingga kini pada waris Sultan Sulu.

Filipina mendakwa perjanjian 1878 hanya membolehkan Overbeck dan Dent `menyewa' Sabah tanpa menggugat hak kedaulatan Sultan Sulu ke atas Sabah. Ini sungguh mengelirukan kerana di dalam perjanjian tersebut `segala hak dan kuasa' telah dilepaskan oleh Sultan Sulu sebagai balasan penerimaan bayaran pampasan tahunan.

Perlu diterangkan di sini juga bahawa Sultan Sulu dan kerajaan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Bates pada 20 Ogos 1899 untuk menyerahkan hak kedaulatan kepulauan Sulu kepada Amerika yang kemudiannya dibatalkan pada tahun 1904 dan memberhentikan pembayaran gaji bulanan kepada Sultan Sulu. Sebelas tahun kemudian, Amerika Syarikat memaksa Sultan Sulu menggugurkan status raja berdaulat ke atas kepulauan Sulu dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat melalui Perjanjian Carpenter 1915.

Yang menghairankan ialah, walaupun Kesultanan Sulu sudah kehilangan hak berdaulat ke atas kepulauan Sulu pada tahun 1915, tetapi waris Sultan Sulu masih boleh menandatangani Perjanjian Rumah Bichara 1962 untuk menyerahkan hak kedaulatan Sultan Sulu di atas segala wilayah-wilayah­ baginda kepada kerajaan Filipina termasuklah wilayah Sabah.

Pada tahun 1996, Puteri Denchirain Kiram, waris kepada Kesultanan Sulu, meminta Perdana Menteri Malaysia menimbang permintaan untuk mengkaji semula bayaran pampasan $5,300 setahun bermula dari tahun 1962. Puteri tersebut mencadangkan bayaran pampasan pada tahun 1962 ditetapkan pada $5,000,000 dan jumlah ini dinaikkan sebanyak $500,000 setiap tahun di antara tahun 1963-1970. Jumlah pertambahan ini dinaikkan lagi $1,000,000 setiap tahun daripada tahun 1971 sehingga sekarang.

Berdasarkan perkiraan ini, waris Sultan Sulu meminta Malaysia membayar $800 juta sebagai wang pampasan negeri Sabah semenjak tahun 1962.

Kesultanan Sulu secara terang telah menyerahkan wilayah Sabah kepada Britain untuk selama-lamanya,­ yang kemudiannya menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Sesungguhnya telah terbukti bahawa Sabah bukanlah hanya sekadar pajakan Malaysia kepada Kesultanan Sulu

SUMBER :
1) Wangcyber
2) PhilippineUpdat­e

Tiada ulasan: